Impian untuk melihat skuad B16 tahun negara mengulangi pencapaian abang mereka di kejuaraan AFF B19 tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada tuan rumah Indonesia.
Jaringan penyerang Amirudin Bagus Kahfi Alfikri menerusi sepakan penalti di minit ke 71 perlawanan sudah cukup untuk meranapkan impian skuad kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib untuk membalas dendam ke atas Thailand yang telah pun mara ke final selepas menang 1-0 ke atas Myanmar.
Penalti untuk skuad kendalian Fakhri Husaini hadir selepas penjaga gol negara Abdul Alim Amri Ali mengasari Mochammad Supriandi.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia bakal berdepan Myanmar untuk penentuan tempat ketiga/keempat pada 11 Ogos nanti
Dari satu aspek, skuad bawah 16 tahun negara mampu untuk menyerap asakan pemain Indonesia yang mengasak kubu Malaysia sejak awal permainan selain permainan pantas sepanjang 80 minit perlawanan.
Malaysia hanya mampu mengeluarkan bola dari luar kotak penalti sendiri tatkala hanya dua atau tiga pemain sahaja berada di posisi serangan menanti bola.
Mutu perlawanan tampak mengecewakan kerana separuh masa pertama, Indonesia seharusnya mendahului 2-0 susulan kesilapan barisan pertahanan.
Peluang terbaik diawal permainan hadir menerusi kapten, David Maulana namun rembatannya sekadar melewati palang gol.
Disusuli percubaan depan gol oleh Supriandi yang mengawal baik hantaran Bagus namun bola sekadar menggegar tiang gol Malaysia.
Anak didik Raja Azlan Shah juga hampir membuka tirai gol di minit ke 16, namun percubaan Alif Daniel Abdul Aziz tersasar.
Kemasukkan pemain yang mencetus kontroversi sebelum kejohanan bermula, Muhd Amirul Ashrafiq Hanifah di penghujung perlawanan tidak mengubah keputusan sekaligus kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.
Indonesia akan berdepan Thailand bagi penentuan juara edisi 2018.