Pemain Melawati FC, Afif Najmi Muhd Izwan (paling kiri)

 

Pemain Melawati FC, Afif Najmi Muhd Izwan menganggap pengalaman membawa pulang seramai 55 penumpang dari Tehran, Iran ke Malaysia pada 21 Mac lalu antara yang paling tidak dapat dilupakan susulan pandemik COVID-19.

Afif yang kini beraksi bersama kelab amatur Liga M3 itu sejak musim lalu merupakan seorang juruterbang yang baru sahaja selesai bertugas dalam misi khas menerusi pesawat AirAsia membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air dari Iran yang juga merupakan antara negara paling teruk dilanda wabak COVID-19.

Pemain berusia 29 tahun itu menyifatkan misi tersebut antara yang akan diingati sepanjang kariernya bergelar juruterbang kerana memerlukan prosedur yang cukup rapi dan teliti demi kesihatan semua pihak.

Jelasnya, terdapat tiga zon dalam penerbangan terbabit yang membabitkan krew kabin, pasukan perubatan dan terakhir sekali adalah penumpang yang meliputi seramai 46 dari Malaysia, 8 dari Singapura dan seorang dari Indonesia.

“Penerbangan ini adalah dua hala sekali gus dan ada tiga kapten pesawat dan dua pembantu juruterbang di mana secara keseluruhan adalah seramai 22 orang termasuklah pasukan perubatan.

“Memang penat sangat dan saya boleh rasa suasana yang cukup lain daripada lain kerana prosedur memang cukup teliti selain taklimat yang ada dan kami perlu memakai pakaian yang tertutup demi keselamatan semua orang.

“Dan setiap penumpang perlu melakukan saringan terlebih dahulu seorang demi seorang sebelum dibenarkan masuk untuk pulang bagi langkah berjaga-jaga dan bagi saya, ini adalah penerbangan yang paling saya tidak boleh lupakan.

“Apa-apa pun, kami bersyukur semuanya selamat dan tiada seorang pun yang disahkan positif COVID-19 selepas melakukan pemeriksaan,” jelasnya.

Bekas pemain futsal negara itu sudah selesai menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari sebelum kembali bertugas.

Afif kini hanya sempat berlatih sebanyak dua kali sahaja bersama pasukan yang kini dibimbing oleh Mat Zan Mat Aris kerana kesibukan tugas apatah lagi ketika negara sedang berdepan penularan wabak COVID-19.

Namun, dia akan mencuba sebaik mungkin untuk membahagikan masa sebaik sahaja saingan kembali bersambung selepas ditangguhkan ke tarikh baharu bergantung kepada situasi yang sedang melanda ini.

“Memang awal-awal ni saya sibuk dengan kerja dan musim lepas saya minta cuti juga untuk datang beraksi dalam perlawanan bersama pasukan.

“Tetapi saya risau selepas wabak COVID-19 ini pulih, penerbangan akan menjadi lebih banyak dan saya kena bersedia, bergantung kepada jadual kerja nanti.

“Jadi, saya kena pandai bahagikan masa dan saya akan cuba yang terbaik membantu pasukan pada musim ini di mana saya tetap lakukan latihan ringan di rumah bagi menjaga stamina,” katanya.

- Advertisement -