Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran tetap membuat penampilan pada saingan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak hujung minggu ini.

Insiden kebakaran yang memusnahkan rumah keluarganya di Dungun, Terengganu awal pagi tadi tidak akan menjejaskan fokusnya untuk mengharungi cabaran yang bakal dihadapinya pada saingan Pusingan 8 itu nanti.

Malah, dia semakin memiliki semangat dan tidak mahu insiden duka itu menjejaskan misinya untuk memburu mahkota kejuaraan kelas CP150 musim ini.

Afif kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan meraih 107 mata dan berharap aksi di Tangkak minggu ini akan terus mengukuhkan statusnya selaku pendahulu.

Dorongan daripada ahli keluarganya yang terus memberi semangat kepada pelumba asal Terengganu itu turut menjadi kekuatan buatnya untuk memburu kejayaan pada aksi Pusingan 8 nanti.

Afif ketika dihubungi hari ini menjelaskan bahawa dia tetap akan beraksi di Tangkak minggu ini walaupun insiden sedih itu menimpa keluarganya.

“InsyaAllah, saya akan tetap beraksi. Misi saya adalah untuk memburu mata kejuaraan memandangkan pelumbaan musim ini semakin hampir menutup tirai. Saya tdak boleh kehilangan mata berharga kerana persaingan semakin sengit.

“Saya reda dengan apa yang telah berlaku, namun saya kekal fokus untuk menghadpai perlumbaan di Tangkak nanti,” jelas Afif.

Menurutnya lagi, keutamaannya di Tangkak nanti adalah untuk memburu mata kejuaraan dan jika berjaya menjejak podium, ia akan menjadi satu bonus.

Rumah keluarga pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing di Kampung Paya Balai Besar, Dungun itu  musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.

Ketika itu, Afif sedang dalam perjalanan ke Tangkak namun selepas menerima panggilan daripada ahli keluarganya, pelumba tersebut berpatah balik ke Dungun.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana semua ahli keluargnya selamat kecuali rumah dan barangan lain yang musnahkesemuanya dalam insiden yang tidak dijangka itu.

Litar Lumba Tangkak sememangnya antara litar kegemaran Afif dan dia pernah muncul juara di venue tersebut pada aksi Pusingan 3, Mei lalu.

Kali ini, dia mahu mengulangi pencapaian tersebut walaupun sedar bakal berdepan saingan sengit daripada barisan pencabarnya.

Pencabar terkuatnya ketika ini adalah pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 94 mata.

Md Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) pula menghuni tempat ketiga dengan meraih 76 mata manakala Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) di tempat keempat dengan 68 mata.

Berdasarkan kedudukan selepas aksi Pusingan 7 di Kangar dua minggu lalu, Azroy dilihat satu-satunya pelumba yang mampu menggugat kedudukan Afif dan atas kesedaran itu, pelumba asal Terengganu ini akan pastikan dia tidak keciciran mata di Tangkak nanti.

Mengimbas prestasi Afif setakat ini, dia antara pelumba paling konsisten menghuni tiga kedudukan teratas walaupun baharu sekali bergelar juara pada aksi Pusingan 3 lalu.

Azroy pula sudah bergelar juara sebanyak tiga kali iaitu pada Pusingan 1, 2 dan 5 tetapi prestasinya agak ‘turun-naik’ kerana dalam beberapa pusingan dia gagal berada dalam kelompok lima teratas.

Jika mengambil kira pencapaian pada Pusingan 3 lalu, pelumba-pelumba yang mampu melakar kejutan minggu ini mungkin Md Izzat Zaidi Md Bahauddin (Motul Yamaha YY Pang Racing) yang menduduki tempat ketiga di litar Tangkak sebelum ini dan juga Md Aiman Tahiruddin (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) yang berada dlaam kelompok lima terbaik pada perlumbaan lalu.

Begitupun, prestasi pelumba serta jentera pada perlumbaan akhir  tetap menjadi penentu siapa yang akan menawan Tangkak hujung minggu ini.

 

Kedudukan keseluruhan

Ahmad Afif Amran (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 107 mata

Azroy Hakeem Anuar (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 94

Md Akid Aziz (KUL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 76

Md Azhar Abd Jalil (SEL) Motul Yamaha YY Pang Racing – 68

Md Haziq Md Fairues (SEL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 68

- Advertisement -