Bakal memasuki musim keempat berturut-turut beraksi di Melaka United, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman mengakui teruja dapat meneruskan kariernya di bumi Hang Tuah pada musim 2022.

Menurut Afiq yang berasal dari Tumpat, Kelantan, dia semakin selasa di Melaka yang sudah dianggap sebagai rumah keduanya malah berharap mampu akhiri karier di sini.

Apa jua pilihan yang mendatang di masa depan, Afiq berikrar hanya Melaka sentiasa menjadi pilihan utama selagi khidmatnya diperlukan oleh jurulatih.

“ Saya gembira apabila musim depan masih kekal bersama Melaka kerana kalau boleh, saya sudah tidak mahu ke mana-mana memandangkan saya serta keluarga kian selesa di sini.

“ Biarpun ada beberapa masalah pernah dilalui pasukan, saya tetap sayangkan Melaka malah yang menjadi kekuatan pasukan ini ialah semangat kekeluargaan yang tinggi dalam kalangan pemain.

“ Suasana dalam pasukan sangat seronok malah tiap kali kami bermain, apa jua masalah seperti boleh hilang dan hanya kejayaan Melaka menjadi keutamaan.

“ Sememangnya dalam soal rezeki ini kita boleh merancang namun jika diberi pilihan, saya harap dapat bermain di Melaka sehingga penghujung karier, ” katanya.

Afiq yang berusia 29 tahun merupakan antara nadi penting pertahanan Melaka sejak tiga musim lalu dan sentiasa diberi peranan di bahagian kanan.

Memulakan kariernya bersama Young Fighters pada 2015, dia pernah membantu Melaka United menjuarai Liga Premier pada 2016 sebelum ke Felda United selama dua musim berikutnya dan kembali ke bumi Hang Tuah pada 2019.

Dalam pada itu, Afiq meletakkan sasaran untuk membawa Melaka berada dalam kalangan empat terbaik Liga Super pada musim depan selain memburu prestasi lebih baik pada pertandingan TM Piala Malaysia dan Piala FA.

“ Selepas dengan apa kami lakukan pada musim ini apabila berjaya mara ke separuh akhir TM Piala Malaysia, saya rasa pasukan ini boleh melangkah jauh.

“ Harap kami boleh konsisten pada musim depan terutama di saingan Liga Super dengan berada dalam kalangan empat terbaik dan mampu melakar sesuatu kejayaan yang boleh dibanggakan peminat-peminat Melaka.

“ Sememangnya tiada apa yang mustahil jika kami boleh ulangi semula prestasi semasa di TM Piala Malaysia yang mana kami tidak tewas dalam semua perlawanan kecuali semasa di tangan Kuala Lumpur melalui sepakan penalti, ” katanya.

- Advertisement -