Pingat emas skuash perseorangan wanita Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 sah menjadi milik Malaysia setelah ratu skuash Dato’ Nicol David dan pemain muda S.Sivasangari melangkah ke final.
Kejayaan itu sekaligus mengulangi pencapaian di edisi Incheon 2014 apabila Nicol memenangi pingat emas dengan menewaskan Low Wee Wern dalam aksi final.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Gelanggang Skuash Gelora Bung Karno, Nicol mengetepikan pemain India, Dipika Palikal Kartik dengan keputusan 3-0 (11-7, 11-9, 11-6).
Sivasangari yang mengejutkan pemain nombor 11 dunia di suku akhir pula mara dengan mengetepikan tentangan sengit seorang lagi pemain India, Joshna Chinappa dengan keputusan 3-1 (12-10, 11-6, 9-11, 11-7).
Nicol kini berpeluang untuk merangkul emas acara perseorangan buat kali kelima dan yang keempat berturut-turut dalam kariernya.
Dia memenangi emas ketika skuash kali pertama dipertandingkan pada 1998 di Bangkok tetapi pada edisi Seoul 2002 berpuas hati dengan perak selepas tewas kepada Rebecca Chiu dari Hong Kong.
Bekas pemain nombor satu dunia itu kembali merampas emas pada 2006 di Doha dan mempertahankannya dalam dua edisi selepas itu – di Guangzhou 2010 dan Incheon 2014.
Bagi Sivasangari pula ini adalah final impian buatnya. Pemain berusia 19 tahun itu membuat penampilan sulung di pentas Sukan Asia dan sejak sebelum temasya bermula meletakkan impian mahu berjumpa Nicol yang juga merupakan idolanya di pentas final. MUHD AIMANÂ