Lagi kekecewaan di Sukan Asia Indonesia apabila kem badminton negara mengakhiri saingan tanpa kilauan pingat selepas dua wakil negara dalam acara bergu lelaki tersungkur di Istora Senayan.
Dua harapan terakhir negara dalam acara badminton bergu lelaki sekadar mampu beraksi sehingga suku akhir apabila tewas kepada lawan masing masing hari ini.
Kejutan daripada gandingan Teo Ee Yi/Ong Yew Sin seperti perlawanan sebelum ini gagal membuahkan hasil ketika bertemu pasangan tuan rumah, Fajar Alfian/Muhd Rian Ardianto.
Bergu tuan rumah lebih cemerlang dan tenang mencari ruang dan peluang untuk memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka dengan kemenangan straight set 21-17, 21-13 dalam masa 40 minit.
Harapan terakhir yang terletak di bahu Goh V Shem/Tan Wee Kiong juga meghampakan apabila sukar untuk menundukkan satu lagi gandingan tuan rumah.
Pilihan pertama, Marcus Fernaldi Gideon/Kevin Sanjaya Sukamuljo ternyata lebih bersemangat ditambah sokongan padu penyokong tempatan sekaligus tidak berdepan tentangan sengit untuk menundukkan V Shem dan Wee Kiong dengan kemenangan straight set 22-20, 21-19.