Selepas kecewa dalam acara sebelum ini, kem memanah negara akhirnya memecah kebuntuan apabila meraih pingat menerusi compound lelaki hari ini.
Gandingan Alang Arif Aqil Muhammad Ghazalli, Mohd Juwaidi Mazuki dan Lee Kin Lip menghadiahkan pingat gangsa untuk Malaysia selepas menewaskan Taiwan 225-223.
Perjuangan mereka bagi pemburuan pingat gangsa bagaimanapun tidak mudah susulan tiupan angin yang agak kuat di Lapangan Memanah Gelora Bung Karno.
Keadaan agak cemas buat trio negara yang perlu membantu pemanah muda negara, Alang Arif Aqil yang tampak gugup pada satu ketika.
Juwaidi dan Lee bagaimanapun kekal fokus untuk membidik 10 mata secara konsisten sekaligus memastikan Malaysia mengesahkan status selaku pemenang pingat gangsa.
Aqil ketika ditemubual media Malaysia selepas tamat perlawanan nyata gembira dengan sokongan yang diberikan oleh Juwaidi dan Lee sekaligus memberinya semangat untuk memperbaiki tekniknya.Â