Nasib berbeza dialami dua pemain perseorangan negara, Liew Darren dan Lee Zii Jia dalam saingan individu di Istora Senayan hari ini.
Sandaran yang diberi kepada Liew Darren susulan aksi cemerlang di Kejohanan Dunia gagal ditampilkan hari ini apabila beliau tewas kepada pemain bukan pilihan dari Korea Selatan, Heo Kwang Hee.
Liew Darren yang memenangi pingat gangsa di Kejohanan Dunia gagal memberikan tentangan sengit di set pertama apabila tumpas mudah 8-21.
Beliau bagaimanapun bangkit dengan aksi yang lebih kemas di set kedua namun berdepan tentangan sengit daripada Kwang Hee sebelum menang 22-20 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Kwang Hee dan jurulatihnya tampak sudah membaca corak permainan dan kesilapan yang seringkali dilakukan Darren untuk mencari kemenangan di set ketiga.
Ternyata Darren gagal untuk memberi tentangan ke atas Heo Kwang Hee di set penentuan yang terus mendahului saingan sekaligus mengesahkan slot ke peringkat seterusnya kemenangan 21-14.
Kegagalan yang dipamer Liew Darren ditebus pemain muda dalam pembikinan, Lee Zii Jia .
Berdepan wakil dari Pakistan, Sarwar Azeem, Lee Zii Jia tampak tidak berdepan banyak halangan untuk memastikan pusingan ketiga menjadi miliknya dengan kemenangan straight set 21-13, 21-10.
Namun, Lee Zii Jia bakal berdepan tugas getir apabila dijadual berdepan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho.
Lee Zii Jia merupakan wakil tunggal Malaysia yang meneruskan cabaran dalam acara badminton selepas wakil bergu wanita, Chow Mei Kuan/ Lee Meng Yean ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan dari India, Ashwini Ponappa/Reddy N Sikki.
Bergu India menang 21-17 di set pertama, namun kecundang 16-21 di set berikutnya.
Ashwini dan Reddy memastikan kemenangan memihak mereka dengan kemenangan 21-19 di set penentuan untuk menempah slot ke peringkat seterusnya.