Pemain India, Manpreet (dua kiri) dibayangi sejumlah pemain Malaysia saat berusaha mengoper bola ke rekannya dalam pertandingan babak Semifinal Hoki Putra Asian Games 2018 di Lapangan Hoki, Komplek Gelora Bung Karno, Jakarta, Kamis (30/8). ANTARA FOTO/INASGOC/Dhoni Setiawan/pras/18

Pasukan hoki Malaysia dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat India dan menyingkirkan juara Asia itu menerusi penentuan penalti dalam aksi separuh akhir Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno pada Khamis.

Kemenangan pada malam ambang kemerdekaan Malaysia ke-61 tahun itu menyaksikan Malaysian Tigers mara ke final buat kali kedua selepas melakukannya pada 2010 sekaligus memastikan misi merebut tiket beraksi di Sukan Olimpik 2020 masih bernyala.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung sengit itu, kedudukan di separuh masa pertama terikat tanpa jaringan dengan penjaga gol negara, S.Kumar beberapa kali tampil sebagai penyelamat.

India bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-33 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Harmanpreet Singh namun skuad bimbingan Stephen Van Huizen berjaya menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian menerusi Faizal Saari.

Varun Kumar kembali meletakkan juara 2014 itu di depan hanya beberapa minit selepas itu dan pada ketika India seolah sudah berada di ambang kemenangan, Razie Rahim menjaringkan gol penyamaan dramatik untuk mengikat kedudukan 2-2 dan mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Kumar yang sudahpun menyarung jersi negara lebih 300 kali kemudiannya menjadi wira pada aksi penentuan apabila menyelamatkan percubaan terakhir daripada Sunil Sowmarpet Vitalacharya dan menempah aksi final menentang Jepun yang mengejutkan Pakistan 1-0.

“Kita bermain dengan penuh disiplin. Kita melakukan banyak analisis, melihat rakaman video dan idea dari pemain senior bagaimana mahu menghadapi India. Kita bertahan dengan baik apabila lawan mendapat pukulan sudut penalti dan mengambil peluang apabila terhidang,” kata Stephen.

Malaysia akan layak secara automatik ke Olimpik Tokyo 2020 sekiranya berjaya memenangi pingat emas. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -