Pemain sepak takraw Malaysia Muhammad Norhaffizi Abd Razak (kanan) menendang bola dihalangi pemain Cina Xu Fan (kedua kiri) saat pertandingan penyisihan regu putra sepak takraw Asian Games 2018 di GOR Ranau, Jakabaring Sport City (JSC), Palembang, Sumatra Selatan, Senin (27/8). Malaysia menang 2-0 atas Cinan. ANTARA FOTO/INASGOC/Nova Wahyudi/nz/18

Malaysia berpeluang cerah untuk memenangi pingat emas dari sepaktakraw antara regu apabila melangkah ke final selepas mudah menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi separuh akhir pada Isnin.

Kejayaan melangkah ke final sekaligus menebus kekecewaan empat tahun lalu di Incheon, di mana regu negara sekadar memenangi pingat gangsa setelah tewas 0-2 kepada Thailand di peringkat separuh akhir.

Aksi di Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring menyaksikan jurulatih negara Abdul Talib Ahmad membuat sedikit pertukaran dalam barisan pemain apabila menurunkan Zulkifli Abdul Razak sebagai tekong untuk bergandingan dengan Farhan Adam dan Azlan Alias.

Ia dilihat sebagai percaturan yang menjadi apabila mereka tidak bermasalah untuk melakar kemenangan 21-8, 21-8 dan menempah pertemuan menentang regu tuan rumah Indonesia dalam aksi final yang akan berlangsung pada Selasa.

Indonesia mara ke final setelah menyingkirkan pemenang pingat perak edisi lalu, Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Jika berjaya untuk mengelak kejutan, pingat emas hampir pasti dalam genggaman Malaysia yang akan turun sebagai pasukan pilihan malah ketika separuh akhir acara regu berpasukan minggu lalu, Malaysia menewaskan Indonesia dengan keputusan 2-0.

Begitupun, Indonesia pastinya tampil dengan semangat tinggi untuk menebus kekalahan tersebut diiringi sorakan penyokong tempatan justeru Malaysia bukan sahaja perlu berada pada tahap prestasi terbaik, tetapi perlu bersedia menangkis serangan psikologi dan menunjukkan kekuatan mental untuk menepati ramalan. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -