Sejumlah atlet layar memacu perahu layarnya saat bertanding dalam nomor Layar Open Laser 4.7 Asian Games 2018 di Jakarta, Selasa (28/8). ANTARA FOTO/Akbar Nugroho Gumay/YU/18

 

 

Misi untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas semakin hampir apabila Malaysia meraih pingat emas keenam menerusi acara pelayaran.

Muhd Fauzi Kaman Shah cemerlang menjadi penyumbang emas keenam untuk Malaysia selepas mengungguli carta kedudukan bagi saingan Open Laser 4.7.

Selepas mengharungi 11 perlumbaan, atlet negara berusia 15 tahun ini mengumpul 19 mata untuk menerajui saingan.

Fauzi cemerlang pada dua perlumbaan pertama apabila menamatkan saingan dikedudukan pertama dan ketiga, namun sedikit goyah di perlumbaan ketiga dan keempat apabila menduduki tempat kelima.

Namun, beliau kembali konsisten untuk meraih tempat pertama sebanyak lima kali meskipun ditentang hebat pelayar pelayar lain sekaligus mengungguli carta saingan bagi kelas Open Laser 4.7.

Fauzi sukar untuk dicabar pelayar pelayar lain termasuk Wang Jianxiong yang mengumpul 39 mata diikuti Harshita Tomar dari India yang mencatat 50 mata.

Manakala seorang lagi pelayar negara yang mengambil bahagian dalam acara ini, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri sekadar dikedudukan ke 12 daripada 23 pelayar yang mengambil bahagian.

Sejumlah atlet layar memacu perahu layarnya saat berlomba pada nomor Layar Laser Standard Asian Games 2018 di Jakarta, Rabu (29/8). ANTARA FOTO/Susana Carmelita/YU/18

 

Impian untuk melihat emas kedua bagaimanapun tidak kesampaian apabila Khairul Nizam Mohd Affendy menduduki tangga kedua keseluruhan dalam acara Laser Standard.

Segalanya tampak sempurna Khairul yang menduduki tangga teratas selepas 11 perlumbaan sekaligus hampir pasti meraih pingat emas.

Namun perlumbaan ke 12 menyaksikan beberapa kesilapan dilakukan sekaligus beliau sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke 9.

Khairul akur untuk berpuas hati selaku pemenang pingat perak dengan catatan 23 mata, ketinggalan 1.2 mata dibelakang pelayar kelahiran Korea Selatan, Ha Jeemin.

Manakala pelayar dari Singapura, Ryan Lo Jun Han melengkapkan podium selaku pemenang pingat gangsa.

Dalam pada itu, pingat gangsa turut diraih menerusi sukan kapal layar menerusi kelas RS One campuran.

Gandingan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman dan Illham Wahab tidak mengecewakan apabila menutup saingan dengan 103 mata untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan.

Perak menjadi milik Hong Kong menerusi gandingan Rafeek Kikabhoy dan Kwan Ching Ma yang mengumpul 59 mata selepas menamatkan 15 perlumbaan.

Manakala pingat emas milik pasukan China menerusi Hao Chen dan Tan Yue yang mengumpul 36 mata.

Gangsa kedua Malaysia hadir menerusi kelas Laser 470 wanita.

Nuraisyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed menempatkan diri dikedudukan ketiga keseluruhan dengan catatan 37 mata berjaya diraih selepas 12 perlumbaan.

Perak milik China menerusi gandingan Wei Menxi, Gao Haiyan yang mengumpul 21 mata manakala pingat emas milik duo dari Jepun, Ai Yoshida Miho Yoshioka yang mengumpul 12 mata keseluruhan.

- Advertisement -