Atlet karate negara, S. Prem Kumar akur untuk berpuas hati selaku pemenang pingat gangsa menerusi acara kumite bawah 60kg lelaki selepas menewaskan wakil Hong Kong, Lee Chun Ho 5-0 pada aksi penentuan pingat gangsa di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Jakarta.
Selain Prem Kumar, pingat gangsa dalam acara sama turut dikongsi atlet dari Uzbekistan, Sadriddin Saymatov yang mengalahkan atlet Vietnam, Nguyen Van Hai 8-1 dalam satu lagi aksi penentuan pingat gangsa.
Pingat emas dimenangi atlet Indonesia, Rifki Ardiansyah Arrosyiid yang dipaksa bertarung sengit sebelum mengesahkan kemenangan ke atas atlet Iran, Amir Mahdi Zadeh, 9-7 pada aksi final.
“Walaupun gagal mara ke final, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian saya kerana ini merupakan penyertaan sulung saya pada Sukan Asia,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas perlawanan berkenaan.
Prem terpaksa menggantikan rakan sepasukan S. Senthil Kumaran yang terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia 2018 selepas mengalami kecederaan ketika menyertai Kejohanan Karate Senior Asia ke-15 di Amman, Jordan, bulan lepas.
“Saya hanya mempunyai persiapan selama sebulan untuk meningkatkan berat melebihi 55kg bagi membolehkan saya menyertai acara ini dan saya berpuas hati kerana sudah memberikan persembahan terbaik pada hari ini” katanya.
Dalam pada itu, pembawa jalur gemilang kontinjen Malaysia, Syakilla Salni Jefry Krishnan gagal mempertahankan pingat emas dalam acara kumite bawah 55kg yang dimenanginya empat tahun lalu.
Di Sukan Asia kali ini, Syakilla pulang dengan tangan kosong selepas kalah 2-3 kepada wakil Hong Kong, Wong Sok I.