Hasrat juara dunia tiga kali Siti Rahmah Mohamed Nasir untuk mengenggam emas pada penampilan sulung di Sukan Asia lebur setelah dia kecundang di peringkat suku akhir dan tersingkir mengejut dari saingan.
Silat dipertandingkan buat pertama kali di pentas Sukan Asia dan Siti Rahmah dianggap sebagai sandaran utama bersama-sama Al Jufferi Jamari untuk menghadiahkan kilauan emas.
Begitupun atlet berusia 31 tahun kelahiran Terengganu itu gagal untuk sekurang-kurangnya menghadiahkan gangsa apabila tunduk dengan kiraan 0-5 kepada pesilat dari Vietnam, Nguyen Thi Cham Nhi di Padepokan Pencak Silat, TMII pada Khamis.
Siti Rahmah bertanding di dalam Kelas D (60kg – 65kg) yang bukan merupakan kegemarannya memandangkan Kelas E (65kg – 70kg) tidak dipertandingkan bagi kategori wanita.
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengakui kekalahan Siti Rahmah cukup mengecewakan apatah lagi ia berpotensi menjejaskan sasaran dua emas yang diletakkan badan induk itu.
Namun beliau enggan melatah dengan situasi tersebut sambil menjelaskan Siti Rahmah sudah memberikan yang terbaik dan tewas kepada lawan yang lebih bersedia.
Penampilan Siti Rahmah di Sukan Asia kali ini mungkin menjadi penampilan terakhir memandangkan pesilat itu sudahpun berusia 31 tahun dan bakal bersara tidak lama lagi.
Olahragawati Kebangsaan 2017 itu sebelum ini cemerlang dalam kejohanan-kejohanan yang disertai di mana dia pernah memenangi tiga gelaran dunia pada 2012, 2015 dan 2016 selain dua emas Sukan SEA pada 2015 dan 2018. Ini belum mengambil kira pencapaiannya di kejohanan-kejohanan terbuka.
Sementara itu dalam perlawanan lain yang berlangsung pada Khamis, seorang lagi pesilat negara Muhamad Robial Sobri melangkah ke separuh akhir setelah menewaskan pesilat Thailand, Pimpirat Thonkieo 4-1 dalam aksi Kelas I (88kg – 90 kg).
Manakala Al Jufferi pula melangkah ke suku akhir setelah menewaskan pesilat Filipina Campos Alvin 5-0 dalam aksi Kelas E. Turut mara ke suku akhir adalah Siti Shazwana Ajak yang menewaskan pesilat Iran, Nazanin Mir Mohamad Tabar dalam aksi Kelas C (55kg-60kg). MUHD AIMANÂ