ANTARA FOTO/INASGOC/Sutanta Aditya/nz/18

 

Temasya Sukan Asia 2018 melabuhkan tirai menyaksikan China muncul sebagai dominasi utama dengan 289 pingat keseluruhan, malah satu satunya kontinjen yang meraih lebih 100 pingat emas berbanding negara negara lain.

Manakala tuan rumah yang penuh dengan ‘helah’ tersendiri menamatkan saingan dikedudukan keempat dengan 31 pingat emas dibelakang Korea Selatan (49 pingat emas) dan Jepun (75 pingat emas).

Detik manis yang mungkin tidak akan dilupakan pastinya menjadi milik Korea Selatan yang muncul juara bagi acara bolasepak selepas menewaskan Jepun dipentas final.

Meskipun mempunyai kelibat pemain Piala Dunia, Heung Min Son, namun Korea Selatan terumbang ambing seketika dalam saingan kumpulan sebelum bangkit sekaligus mengesahkan pingat emas menjadi milik mereka.

Buat kontinjen Malaysia, tujuh emas, 13 pingat perak, dan 16 pingat gangsa berjaya diraih sepanjang tempoh dua minggu di Indonesia meletakkan kontinjen Malaysia dikedudukan ke 14 keseluruhan.

Malah, pencapaian ini sekaligus menepati sasaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dimana tujuh pingat emas adalah sasaran minimum yang perlu dicapai selain menduduki tangga ke 10 terbaik.

Skuash terus menjadi ‘penyelamat’ apabila membutirkan dua pingat emas termasuk emas ketujuh menerusi berpasukan lelaki untuk memastikan sasaran minimum tujuh pingat emas berjaya diraih.

Selain skuash, boling juga turut menyumbang dua pingat emas dan boleh dianggap tidak pernah gagal dalam menjadi penyumbang utama pingat untuk kontinjen Malaysia.

Malah, persatuan boling Malaysia tampak terus cemerlang dalam melahirkan dan membentuk atlet atlet muda yang cemerlang.

Manakala basikal trek, sepak takraw, dan kapal layar masing masing menyumbang satu pingat emas untuk melengkapkan sasaran yang ditetapkan kepada kontinjen Malaysia di penyertaan Sukan Asia kali ini.

Pelayaran turut melakar sejarah tersendiri apabila Khairulnizam Mohd Afendy yang meraih pingat perak dalam acara Laser Standard mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Begitu juga dengan pasukan takraw yang menamatkan penantian selama 24 tahun untuk meraih pingat emas menerusi acara regu.

Namun, lain pula cerita buat kem hoki lelaki negara yang terpaksa menangguhkan hasrat untuk ke Olimpik 2020 lebih awal selepas kecundang kepada Jepun dalam perlawanan final.

Tidak kurang juga cerita kurang manis dari gelanggang silat apabila tuan rumah ‘menguasai’ para juri untuk memastikan 14 pingat emas berjaya dipungut.

Malaysia antara yang turut menjadi mangsa dimana pesilat negara Al Jufferi Jemari tidak diberi pengadilan yang sewajarnya sebelum memutuskan untuk menarik diri.

Apa sahaja cerita yang terhasil di Indonesia, hakikat yang tidak boleh disangkal, Malaysia memperbaiki catatan ketika di Sukan Asia Incheon pada 2014.

Laporan seterusnya akan merungkai sedikit sebanyak berkenaan sukan yang dianggap cemerlang dan sukan yang dilabel sebagai gagal.

- Advertisement -