Meskipun penampilannya ketika menentang Bahrain pada Isnin lalu menerima kritikan hebat, penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim tetap menaruh harapan dia akan terus diberi kepercayaan untuk bermain dalam kesebelasan utama apabila Malaysia berdepan Jepun pada Jumaat ini dalam aksi pusingan kedua.

Jurulatih, Dato’ Ong Kim Swee merehatkan beberapa pemain tonggak termasuk penjaga gol Haziq Nadzli ketika aksi terakhir menentang Bahrain dan ianya memberi ruang kepada penjaga gol Kedah itu membuat penampilan.

Dia melepaskan tiga gol dalam kekalahan kepada 2-3 dan mengundang kritikan namun dia tetap menunjukkan aksi yang wajar diberikan kredit apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk dalam situasi satu lawan satu sekaligus menghalang Bahrain daripada berpesta gol.

Menurut Ifwat keyakinannya semakin memuncak di sebalik gagal menghalang pasukan negara dari mengalami kekalahan sulung dan bertekad mahu berikan aksi lebih baik dalam perlawanan selepas ini jika diturunkan.

“Ketika menentang Bahrain tempoh hari mungkin saya boleh bermain dengan lebih baik. Saya akui masih banyak yang perlu diperbaiki, ada kalanya kita beraksi baik ada kalanya tidak dapat mengekalkan prestasi baik itu dan membuat kesilapan yang memberi impak kepada keputusan perlawanan.

“Apa pun saya berharap akan terus diberikan peluang dan sentiasa bersedia untuk menggalas tanggungjawab, akan cuba sedaya upaya kurangkan kesilapan. Setiap pemain pastinya mengidamkan peluang bermain menentang sebuah pasukan hebat seperti Jepun tetapi jurulatih juga pastinya ada perancangan beliau dan kita perlu menghormatinya.

“Siapa sekalipun yang diturunkan, perkara paling penting adalah memberikan fokus sepenuhnya. Sedikit kelekaan akan membawa padah,” ujar Ifwat.

Malaysia muncul juara Kumpulan E setelah melakar dua kemenangan ke atas Republik Kyrgyz dan juara bertahan Korea Selatan manakala Jepun pula muncul naib juara Kumpulan D setelah tumbang kepada Vietnam dalam aksi terakhir.

Skuad negara tidak pernah berada di kelompok lapan terbaik sejak 1974 – tahun di mana mereka membawa pulang pingat gangsa manakala Jepun pula mara ke suku akhir pada 2014 dan merupakan juara edisi 2010. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -