Tiada khabar ceria dari gelanggang skuash pada Hari Kemerdekaan ke-61 apabila Malaysia gagal mempertahankan pingat emas dalam acara skuash berpasukan wanita setelah dikejutkan dengan kekalahan 0-2 di tangan India dalam aksi separuh akhir Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.Â
Kemenangan itu turut menyaksikan India berjaya membalas dendam kekalahan di pentas final empat tahun lalu sekaligus membuatkan Malaysia yang merupakan pemenang emas 2010 dan 2014 sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.
Aksi di gelanggang skuash Gelora Bung Karno itu menyaksikan Datoâ Nicol David tewas kepada pemain ranking 16 dunia Joshna Chinnapa dalam aksi pertama.
Nicol yang memenangi pingat emas perseorangan wanita buat kali kelima pada 26 Ogos lalu bagaimanapun memberi tentangan sengit kepada lawannya itu apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat kedudukan 2-2.
Namun, kudrat pemain berusia 35 tahun itu jelas tidak berupaya menghalang Joshna dari menoktahkan aksi sengit itu dengan kemenangan 3-2 setelah memenangi set penentuan 11-9.
Di kala pertembungan Nicol-Joshna berlangsung sengit, berbeza ceritanya dengan aksi perseorangan kedua di antara Low Wee Wern dan Dipika Palikal.
Wee Wern yang dianggap sedang memuncak prestasinya berikutan kejayaan memenangi tiga kejuaraan sebelum bertandang ke Indonesia tewas mudah 0-3 kepada lawannya yang berada di ranking ke-19 dunia. Wee Wern kecundang 2-11, 9-11 dan 7-11. – OLEH MUHAMMAD AIMAN