Skuad bolasepak bawah 23 tahun Malaysia bertandang ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan sasaran utama adalah melangkah ke kelompok 16 terbaik.
Sasaran itu dilihat tidaklah sukar untuk dipenuhi jika mengambil kira peningkatan prestasi yang sedang ditunjukkan skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee yang turut melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 di China pada Januari lalu.
Yang pasti tiada siapa termasuklah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun Kim Swee sendiri yang berani untuk mengatakan Malaysia akan meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan.
Justeru, setelah kejayaan tidak diduga menjuarai Kumpulan E yang turut dihuni pasukan pilihan utama Korea Selatan yang juga merupakan penyandang pingat emas, keghairahan semakin memuncak untuk melihat sejauh mana pasukan ini boleh melangkah.
Jelas sekali, kejayaan menewaskan Korea Selatan untuk menjuarai peringkat kumpulan adalah sangat besar ertinya, sudah begitu lama kemenangan seperti ini tidak dikecap.
Malah ini kali pertama Malaysia mengumpul enam mata dari aksi peringkat kumpulan maka kem Malaysia sama ada badan induk, pegawai, pemain dan penyokong boleh dimaafkan andai mereka terbang tinggi di awangan buat seketika.
Sehinggakan Presiden FAM, Dato’ Hamidin Amin tanpa berselindung menyatakan skuad ini mempunyai potensi untuk membawa pulang pingat buat pertama kali selepas 44 tahun.
Begitupun, apabila kembali berpijak di bumi nyata, mereka sedar lawan yang menanti di pusingan kedua bukanlah calang-calang – sebuah lagi pasukan gergasi Asia, Jepun yang merupakan juara edisi 2010.
Begitupun, sedikit kelegaan buat Malaysia adalah skuad Jepun yang beraksi di temasya Sukan Asia ini bukanlah skuad yang boleh dianggap sebagai pilihan kerana mereka mempertaruhkan skuad B-21 yang sedang dipersiapkan untuk memghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Skuad Hajime Moriyasu itu tidaklah begitu gah di peringkat kumpulan apabila sekadar merekodkan kemenangan ke atas pasukan yang jauh lebih lemah iaitu Pakistan dan Nepal, sebelum tumbang di tangan Vietnam.
Jadi adakah ini memberi indikasi bahawa peluang terbuka luas untuk Malaysia meneruskan langkahan dan sensasi yang telah dicipta? Mungkinkah ini masanya untuk meneruskan kebangkitan bolasepak Malaysia di rantau Asia?
Apa sekalipun, kita tidak boleh terlalu yakin. Jepun sememangnya dibarisi skuad muda, tetapi itu bukan bermakna mereka mentah pengalaman. Ada di antara pemain Samurai Biru sudahpun bermain mewakili pasukan besar seperti Gamba Osaka dan Hokkaido Cansadole Saporro dan sudah tentunya level pemain B-21 mereka tidak boleh dipandang enteng.
Malaysia juga tidak memiliki sebarang kelebihan dari segi rekod pertemuan apabila tewas kesemua aksi kompetitif kepada negara matahari terbit itu dalam tempoh kira-kira sedekad yang lalu.
Ini termasuklah tewas 0-2 di pentas Sukan Asia 2010, kekalahan 0-2 dan 0-4 di pusingan kelayakan olimpik 2012, kekalahan 0-1 di pusingan kelayakan AFC B-23 2016 serta kekalahan 0-4 di Sukan Universiade Dunia 2015.
Namun begitu, jika skuad negara mengambil inspirasi dan motivasi dari kemenangan yang dilakar ke atas Korea Selatan tempoh hari, mengulangi keghairahan serta menunjukkan semangat melawan sehingga ke wisel penamat, maka ia bukanlah satu misi yang mustahil untuk kejutan diteruskan.
Selamat berjuang, dan selamat berjaya diucapkan kepada sang harimau muda! – OLEH MUHAMMAD AIMAN