Bintang muda skuasy, Aifa Azman tekad mahu memperagakan aksi terbaik menjelang penampilan sulungnya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berikutan prestasinya yang cemerlang di Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di New Zealand baru-baru ini.Â
“Selepas mendapat pingat perak di kejohanan ini, ia memberikan saya semangat yang positif untuk membantu negara meraih pingat emas acara berpasukan wanita di sukan SEA nanti
“Walaupun saya tidak dapat membantu pasukan meraih pingat emas di New Zealand, namun saya telah mempelajari sesuatu terutama apabila saya bermain bersama pemain senior seperti Andre Lee dan Zoe Foo,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelamrin (31 Julai).
Anak ketiga daripada empat bradik itu turut akui sedikit sukar untuk mempersiapkan diri bagi acara beregu bersama Rachel Arnold namun beliau berjanji akan memberikan komitmen yang terbaik.
“Bagi saya, persiapan berpasukan wanita semuanya berjalan lancar tetapi bagi acara beregu, saya akui sedikit sukar kerana saya hanya punyai tempoh tidak sampai sebulan untuk mempersiapkan diri bersama Rachel nanti namun saya akan cuba yang terbaik” katanya.
Pemain skuasy negara itu juga turut memasang impian untuk menjadi seperti Datuk Nicol David satu hari nanti.
Untuk rekod, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar itu berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Remaja Britain pada 2013 (Bawah 13 tahun) dan 2016 (B-15).
Selain Aifa, skuasy Remaja negara turut dibarisi S. Sivasangari, Zoe Foo dan Andrea Lee dan daripada empat pemain itu, hanya Aifa yang masih berpeluang untuk beraksi dalam saingan tahunan Kejohanan Skuasy Remaja Dunia khususnya untuk pemain berusia 19 tahun. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI