Oleh Ku Mohd Lufti

Selain penganjuran Kongres Persatuan Wartawan Sukan Antarabangsa (AIPS) Asia yang dikelola Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), AIPS turut menjalinkan hubungan kerjasama dengan Badminton Asia dan Media Twenty Four Seven Sdn Bhd.

Memorandum Persefahaman (MoU) diantara AIPS dan Badminton Asia, ditandatangani oleh Setiausaha Agung AIPS Asia, Amjad Aziz Malik dan Presiden Badminton Asia Anton Aditya Subowo.

Malah Amjad turut menandatangani MoU dengan syarikat perhubungan awam sukan, Media Twenty Four Seven Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusan, Dhinnesh Kumaran sekaligus melebarkan lagi hubungan dua hala diantara wakil dari rantau Asia dengan organisasi yang terlibat secara khusus dengan arena sukan di dalam Malaysia.

Dalam pada itu Kuala Lumpur menjadi tuan rumah bagi persidangan melibatkan pengamal media sukan dari serata Asia menerusi Kongres Persatuan Wartawan Sukan Antarabangsa (AIPS) Asia yang berlangsung dari 28 Februari hingga 1 Mac.

Kongres ini dihadiri 80 wakil yang terdiri daripada wartawan sukan dari negara negara Asia seperti Myanmar, India, Thailand dan Vietnam termasuk Presiden AIPS Asia, Mohammad Qassem.

Majlis perasmian disempurnakan Presiden AIPS, Gianni Mirlo dan turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar, Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa.

Selepas majlis perasmian, Ahmad Khawari memainkan peranan sebagai moderator forum khas yang membincangan ‘Cabaran Yang Akan Ditempuh Oleh Wartawan Sukan Asia’ dan Mirlo serta Tunku Imran dipilih sebagai ahli panel.

Perbincangan yang berlangsung hampir sejam memfokuskan tentang langkah langkah dan idea idea baru yang boleh diketengahkan untuk memastikan wartawan sukan khususnya dapat memberikan laporan yang berkualiti sekaligus menaikkan martabat sukan di Asia.

Beberapa organisasi seperti Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Badminton Asia (BA) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) antara yang memberikan pembentangan tentang struktur organisasi serta matlamat jangka panjang dalam membangunkan sukan di rantau Asia.

 

- Advertisement -