Meskipun diturunkan pangkat beraksi dalam saingan 100PLUS Liga Premier dan bakal bertindak sebagai ā€˜feeder clubā€™, Terengganu FC II atau sebelum ini dikenali T-Team tetap bernafsu besar mahu memberi saingan hebat apabila mengikat penyerang import sensasi Uitm FC, Akani Sunday Wasiu.

Penyerang kelahiran Nigeria itu yang meledak 24 gol bersama Uitm FC dalam semua pertandingan pada musim 2017 menandatangani kontrak setahun bersama pasukan itu yang bakal tampil berwajah baru sepenuhnya musim depan berikutan penstrukturan semula pasukan.

ā€œDia sudah membuktikan ketajamannya ketika bersama Uitm dan sudah tentu kita berharap dia akan dapat meneruskan sentuhan hebatnya itu dan menambah sengat barisan depan pasukan yang rata-ratanya dibarisi pemain muda musim depan,ā€ kata ketua jurulatih TFC II, Mustafa Kamal Abdul Wahab.

Mustafa menjelaskan pasukan itu masih memburu seorang lagi pemain import dari Haiti untuk memperkuatkan barisan pertahanan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Abdoulaye Maiga, dengan rundingan sudah berada di fasa terakhir dan akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Untuk rekod, TFC II sebelum ini berjaya menyelamatkan diri dari tersingkir ke Liga Premier setelah seri menentang Sarawak dalam aksi terakhir Liga Super, namun kejayaan pasukan negeri, Terengganu layak ke Liga Super menyebabkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memutuskan hanya menghantar satu pasukan beraksi di liga utama.

Perkara itu diumumkan Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman selepas berakhir Kongres Tahunan badan itu pada bulan lalu yang turut disifatkan sebagai langkah menjimatkan kos dan penjenamaan semula melibatkan kesemua pasukan di Terengganu.Ā 

Penstrukturan semula itu menyaksikan TFC II akan mempertaruhkan sepenuhnya kudrat anak jati negeri itu dibantu dua pemain import (berbanding lima yang dibenarkan Persatuan Bolasepak Malaysia).

Selain melepaskan ketua jurulatih dari Indonesia yang membimbing pasukan itu selama dua musim, mereka juga telah melepaskan ramai pemain tonggak antaranya Fauzi Kadar, Wan Amirzafran Wan Nadris dan Kamal Azizi Mohd Zabri yang menyertai Terengganu manakala Nor Hakim Hassan pula berhijrah ke Perak. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -