Semangat pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz tetap kental walaupun dia masih belum membuktikan sengat sebenarnya di gelanggang CP150 pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019.

Selepas mengharungi tiga pusingan, pelumba asal Kuala Lumpur itu baru sekali menjejak kaki di podium kemenangan selepas menduduki tempat kedua pada aksi Pusingan 3 kejuaraan tersebut di Tangkak, Johor pada 3 hingga 4 Mei lalu.

Nasib tidak begitu memihak kepada Akid ketika mengharungi saingan Pusingan 1 (Jasin,Melaka) dan Pusingan 2 (Batu Kawan, Pulau Pinang) apabila gagal mencapai sasaran yang dia impikan.

Pada Pusingan 1 dia sekadar menduduki tempat ke-9 manakala di Batu Kawan, dia gagal menamatkan perlumbaan atas masalah mekanikal.

Justeru, impiannya untuk berada dalam kelompok lima teratas keseluruhan ketika ini terhalang, namun tetap bersyukur apabila berjaya mengumpul 29 mata untuk menghuni tangga keenam.

Begitupun, apa yang dilaluinya dalam tiga pusingan awal sebelum ini tidak pernah melunturkan semangatnya, malah tetap memiliki keyakinan untuk kembali bangkit membuktikan kehebatannya di atas litar.

Tanda-tanda kebangkitan itu sudah ada selepas dia memperlihatkan watak cemerlangnya pada aksi Pusingan 3 di Tangkak Johor, Mei lalu apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Kini, semangat pelumba muda itu semakin memuncak untuk kembali mempamerkan sengatnya pada saingan Pusingan 4 di Pontian, Johor minggu depan (20-21 Julai).

Dia mengakui saingan di Pontian tidak semudah yang dijangkakan, kerana masih belum mendapat gambaran mengenai keadaan litar di sana.

Namun, penyudah podium tetap menjadi buruannya dalam misi untuk merapatkan jurang mata dengan pelumba lain dalam kedudukan keseluruhan.

“Sasaran di Pontian nanti adalah untuk berada di podium kemenangan dan saya akan melakukan yang terbaik bagi merealisasikan impian tersebut.

“Buat masa ini, saya sudah berada dalam keadaan bersedia tetapi masih belum memikirkan tentang strategi kerana Pontian merupakan litar baharu bagi semua pelumba. “Saya yakin semua pelumba akan memilih untuk bersaing secara selamat,” jelas Akid.

Menurutnya lagi, apa yang penting adalah pelarasan terhadap jentera kerana ia antara faktor penting untuk menjamin kemenangan.

“Jika keadaan jentera stabil, ia akan memudahkan misi untuk mencapai impian. Semua aspek perlu mantap khususnya dari segi penggunaan tayar, spoket (gegancu) dan juga keberkesanan brek.

“Aspek ini akan menjadi keutamaan kami termasuk pasukan lain,” ujarnya lagi.

Selepas tiga pusingan setakat ini, pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran menerajui kedudukan keseluruhan kelas CP150 dengan 58 mata.

Ia adalah hasil kejayaannya menjuarai perlumbaan Pusingan 3 di Tangkak, Johor dan menduduki tempat kedua pada Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Dia turut mengumpul 13 mata pada aksi pembuka tirai di Jasin, Melaka selepas menduduki tempat keempat. Kedudukan Afif kini diekori rapat pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang menjuarai saingan Pusingan 1 dan 2 diikuti kedudukan ke-11 pada aksi Pusingan 3.

Azroy yang mengumpul 55 mata, kini dipisahkan dengan perbezaan 3 mata dengan Afif dan dia akan sekali lagi menjadi sandaran pasukannya untuk memburu penyudah podium.

Rakan sepasukan Azroy, Md Zaqhwan Zaidi tidak akan beraksi di Pontian kerana pelumba asal Selangor itu kini sedang dalam persiapan untuk mengharungi kejuaraan Suzuka 8-Hours (S8H) 2019 yang dijadualkan berlangsung penghujung Julai ini di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun.

Berdasarkan kedudukan ketika ini, apakah jentera Honda mampu menakluk Pontian minggu depan seperti mana yang berlaku pada Pusingan 1 dan 2 sebelum ini.

 

KEDUDUKAN KESELURUHAN

CP150 Pelumba (5 teratas)

Ahmad Afif Amran (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 58 mata

Azroy Hakeem Anuar (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 55

Ahmad Fazrul Sham (PRK) AHM Motorsports Yamaha Racing – 36

Md Izzat Zaidi Md Salehan (SEL) Motul Yamaha YY Pang Racing – 33

Md Zaqhwan Zaidi (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 31

 

Kedudukan Pasukan (5 teratas)

Idemitsu Honda Yuzy Racing – 86 mata

Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 82

AHM Motorsports Yamaha Racing Team – 59

Motul Yamaha YY Pang Racing – 54

Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 48 

- Advertisement -