Selepas menggenggam dua trofi peribadi di peringkat nasional dalam kariernya, Mohd Akid Aziz kini dalam misi memburu trofi berprestij ketiga apabila turun beraksi mempertahankan kedudukan pendahulu keseluruhan dalam saingan Underbone 150cc pada Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu ini.

Pelumba berusia 19 tahun yang membawa cabaran UMA Racing Yamaha Maju Motor itu telah menggondol gelaran keseluruhan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada 2016 dan 2017 selain turut cemerlang pasukannya memenangi gelaran pasukan terbaik buat dua tahun berturut-turut di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Pada aksi minggu ini, Akid bakal melengkapkan tahun sempurna buat pasukan kendalian Yong Ying Hoe seandainya berjaya menjulang gelaran juara keseluruhan kelas underbone ARRC yang kali terakhir dibawa pulang oleh pelumba negara pada tahun 2009.

Selepas lima pusingan, Akid kini hanya memerlukan enam mata kejuaraan dalam baki dua perlumbaan akhir untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan apabila kini selesa mendahului kedudukan dengan 164 mata, 44 mata mengatasi Wahyu Aji Trilaksana di kedudukan kedua manakala rakan sepasukan Akid, Md Haziq Fairues ketiga dengan 116 mata.

“Saya sangat berbangga melihat bagaimana pasukan saya bekerja keras khususnya dalam kelas 150cc pada tahun ini. Kami cepat menyesuaikan diri dengan peraturan yang ditetapkan dan membantu kami untuk memperoleh keputusan terbaik tidak kira di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa,” jelas Akid.

“Untuk perlumbaan minggu ini, tekanan mengejar gelaran keseluruhan tidak begitu tinggi. Saya cuma berharap semuanya akan berlangsung dengan baik seperti apa yang dirancang untuk menambah satu lagi koleksi peribadi dan juga kepada pasukan.”

Untuk rekod, sepanjang tahun 2016 dan 2017, pasukan Maju Motor telah menggondol 11 gelaran juara keseluruhan berpasukan dan individu dalam kategori perdana CP130 yang ditukar ke kategori CP150 pada tahun ini dan juga CP115 di dalam siri Kejuaraan Cub Prix selain muncul pasukan terbaik Underbone 130 2016.

 

- Advertisement -