Skuad bolasepak kebangsaan wanita akan turun menentang India dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Selayang malam esok sebagai satu daripada perlawanan persiapan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Jurulatih, Ashraaf Fong Abdullah berkata perlawanan ini cukup penting buat pasukan negara kerana dia akan menjadikan perlawanan menentang juara Kejohanan Persekutuan Asia Selatan 2017 ini sebagai medan penilaian terakhir sebelum memuktamadkan senarai akhir pemain beraksi di KL2017.
“Kita berpeluang melihat keupayaan pemain-pemain ini, menilai kekuatan dan kelemahan apabila bedepan dengan satu pasukan yang kuat, yang berada di ranking ke-60 dunia. Ini sebagai sebahagian daripada latihan sebelum kita mengejar misi sukar untuk dilaksanakan di Sukan SEA,” kata Ashraaf.
Seramai 25 pemain sedang menjalani latihan pusat di Wisma FAM dan Ashraaf berkata senarai akhir 20 pemain yang akan mengalas tanggungjawab di KL2017 akan diumumkan pada 1 Ogos nanti.
Tambahnya lagi, “Kita sebenarnya kekurangan pemain wanita, jadi adalah penting terapkan taktikal yang sesuai dengan keupayaan pemain yang kita ada dan kekuatan lawan yang kita tentang. Saya telah mencuba banyak formasi sebelum ini. Ada yang tidak sesuai dengan mereka dan ada yang memberikan hasil positif.
“Untuk perlawanan ini, saya akan kekal dengan formasi 3-4-3 kerana India adalah sebuah pasukan kuat, fizikal tinggi dan berpengalaman luas. Saya yakin ini akan memberikan lebih variasi dan keyakinan kepada pemain,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di Wisma FAM.
Untuk rekod, pasukan negara sebelum ini telahpun mengadakan beberapa perlawanan persahabatan antaranya menentang Nepal pada Mei yang berkesudahan seri 1-1 dan menang 4-1. Sebelum itu mereka memenangi Kejohanan Pembangunan Wanita Tiga Penjuru di Singapura dengan menewaskan Bangladesh 2-1 dan Singapura 4-0.
Selepas India, skuad wanita negara akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan terakhir menentang seteru dari Asia Tenggara, Singapura pada 9 Ogos depan di gelanggang yang akan ditentukan kemudian.
Bolasepak di Sukan SEA akan berlangsung dari 14-29 Ogos dengan acara wanita membabitkan hanya lima pasukan iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Filipina. Malaysia akan membuka tirai kejohanan dengan menentang Filipina pada 15 Ogos. – OLEH MUHAMMAD AIMAN