Oleh Muhammad Aiman
Beberapa aksi Liga Malaysia pada Julai dan Ogos berkemungkinan besar terpaksa ditangguhkan seandainya pasukan-pasukan yang terbabit enggan melepaskan pemain B-23 mereka menyertai kem negara.
Pengurus skuad B-23, Datuk Yusoff Mahadi berkata itu antara pilihan yang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ada tatkala mereka hampir pasti akan mengadakan latihan selama sebulan di luar negara bagi menghadapi kelayakan Piala AFC B-23 dari 19-23 Julai serta Sukan Sea Kuala Lumpur pada Ogos.
“Kita masih mencari penyelesaian terbaik untuk masalah ini, keputusan hanya akan dibuat setelah kita mengadakan perbincangan dengan pasukan yang terlibat.
“Jika mereka tidak mahu melepaskan pemain, kita terpaksa membuat pindaan jadual Liga M membabitkan beberapa perlawanan Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia bagi memberi ruang kepada pasukan B-23 membuat persiapan.
“Bagaimanapun, ini akan menyebabkan liga diheret sehingga ke bulan Disember berbanding jadual asal pada hujung Oktober. Dan ini sudah tentunya menyebabkan pasukan kekurangan masa untuk persediaan pra-musim kerana musim 2018 akan bermula pada hujung Januari,” kata Yusoff.
Yusoff berharap situasi sedemikian tidak terjadi bagi memastikan kelancaran perjalanan liga justeru meminta agar pasukan-pasukan yang pemainnya telah dipanggil agar melepaskan mereka untuk mengikuti latihan intensif di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Menurutnya, buat masa ini terdapat 40 pemain telah disenaraikan bagi mengikuti latihan tetapi senarai itu akan dipendekkan kepada 30 pemain sebelum 25 pemain dipilih untuk berlatih di luar negara.
“Mungkin mereka keberatan nak lepaskan pemain kerana ada tiga atau empat pemain yang terlibat. Tetapi kita sebenarnya menghadapi kekangan masa kerana mempunyai hanya sebulan lebih sahaja untuk latih dan bentuk keserasian pemain. Pada bulan puasa nanti kita akan ke Australia dan tidak ke Korea Selatan kerana mereka ada perancangan lain.”
Bagi aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan H bersama Thailand, Indonesia, dan Mongolia untuk merebut tempat di pusingan akhir yang akan berlangsung di China pada Januari tahun depan.
Acara bolasepak di temasya Sukan Sea pula akan berlangsung dari 15-30 Ogos.