Oleh Muhammad Aiman
Aksi tumpuan Liga Super pada 4 Februari di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, terpaksa ditunda bagi memberi lebih masa kepada JDT mempersiapkan pasukan menghadapi perlawanan kelayakan Liga Juara Asia.
Harimau Selatan akan menentang kelab Liga Jepun, Gamba Osaka pada 7 Februari ini dalam misi merebut tempat berada dalam kalangan 24 pasukan terbaik Asia sekaligus cuba melakar sejarah menjadi pasukan dari Malaysia layak beraksi di ACL sejak ianya diperkenalkan pada 2002.
Kerjasama Terhad Liabiliti Bolasepak Malaysia (FMLLP) dalam satu kenyataan berkata keputusan menunda perlawanan itu dibuat setelah mengambil kira tempoh perjalanan dan persediaan pasukan JDT untuk perlawanan getir di tempat lawan itu apatah lagi ini juga merupakan kali pertama sebuah pasukan dari Malaysia akan bertanding dalam pusingan kelayakan akhir ACL.
“Kelulusan pindaan ini juga dibuat atas agenda nasional yang akan membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi. Sekiranya JDT layak ke ACL 2017, maka pasukan Kedah berpeluang mengisi slot Piala AFC 2017 secara automatik. Ini bermakna tiga pasukan dari Malaysia bakal berentap di Kejohanan AFC pada tahun ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada pasukan Kelantan yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan memberikan persetujuan terhadap pindaan berkenaan sekaligus membantu persediaan pasukan JDT sebagai wakil Malaysia dalam pertandingan tersebut,” menurut kenyataan tersebut.
Apa sekalipun alasan FMLLP, ia tidak dapat menutup kecewa penyokong Kelantan yang tidak sabar menantikan pertembungan yang dilabel ‘match of the season’ itu, apatah lagi ianya merupakan kali kedua berturut-turut aksi di Kota Bharu terpaksa ditunda.
Sebelum ini, perlawanan antara Kelantan dan Melaka United yang sepatutnya menjadi aksi pembuka tirai musim baru pada 21 Februari lalu turut ditunda gara-gara cuaca buruk yang mengakibatkan padang terjejas teruk dan tidak dapat digunakan.
Antara yang tampil menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan penundaan perlawanan adalah Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang membidas FMLLP sebagai tidak mengikut peraturan bertulis Liga Malaysia malahan dilihat tunduk kepada desakan pihak tertentu di dalam membuat keputusan itu.
“Di bawah peraturan bertulis Liga M, permohonan penundaan memerlukan 14 hari lebih awal. Jika disebabkan agenda nasional (peraturan bertulis 14-C) sekalipun, permohonan perlu sekurang-kurangnya tujuh hari lebih awal. Jadi di bawah peraturan mana ia dibuat?,” soalnya.
“Jadual sedia ada sudah mengambil kira kelayakan JDT ke Piala AFC dan play-off yang sudah lama ditetapkan. JDT hanya perlu berada di Osaka pada 5 Februari, bukannya 4 Februari dan mereka juga mempunyai 30 pemain yang boleh digilirkan. Kalaupun mahu memberi rehat kepada JDT, kenapa jadual asal tidak mengambil kira faktor ini?”
Sementara Presiden Kelab Penyokong Kelate.Net, Mahizi Mahmood pula berkata, “Bagi penyokong, ia agak memberikan kesan terutama kepada yang sudah mengambil cuti, menempah tiket bas dan tiket penerbangan untuk pulang ke Kota Bharu memberikan sokongan.
“Bukan kita tidak memahami isu jadual padat yang mereka harungi, tetapi tidak adil untuk memikirkan mengenai satu pihak sahaja. JDT mempunyai skuad 30 pemain untuk digilirkan jadi sepatutnya tidak timbul isu mereka penat atau tidak mempunyai cukup masa. Dalam situasi ini yang rugi adalah penyokong. FMLLP sepatutnya melihat secara menyeluruh kesan kepada yang terlibat sebelum membuat keputusan.”
Manakala Presiden Kelab Penyokong TRW Kota Bharu, Zainy Mohd Zain berkata, “Kelantan pernah berada dalam situasi ini (jadual padat AFC dan Liga) pada 2012 dan 2013, tetapi permintaan untuk penundaan perlawanan tidak pernah diendahkan, ke mana perginya istilah agenda nasional ketika itu?.”
Dengan penundaan ini, Kelantan sekali lagi akan berehat lebih lama berbanding pasukan lain di mana aksi mereka yang seterusnya adalah menentang Felda United di gelanggang lawan pada 11 Februari, manakala JDT pula akan melayan kunjungan Selangor di tempat sendiri sejurus pulang dari Jepun.