rio.olympics

Oleh Muhammad Aiman

Chef De-Mission kontijen negara ke Sukan Olimpik, Tan Sri Mohd Al-Amin Abdul Majid yakin Malaysia akan mempunyai lebih ramai atlet yang mengibar cabaran di Rio De Janeiro Ogos depan.

Setakat ini 23 atlet sudah sah layak beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu dengan atlet renang jarak jauh, Heidi Gan menjadi atlet terbaru mengesahkan kemaraan setelah menamatkan Pusingan Kelayakan Olimpik di Setubal Bay, Portugal pada Sabtu lalu di tempat ke-18 dari 48 peserta.

Al-Amin yang meluangkan masa untuk melawat persiapan jaguh badminton negara yang juga prospek pingat emas, Dato’ Lee Chong Wei beserta pasangan beregu Goh V Shem/Tan Wee Kiong di Bukit Kiara pada Rabu, berharap akan ada tambahan atlet dari beberapa lagi acara sukan dalam tempoh kurang sebulan sebelum penyertaan ditutup pada 11 Julai depan.

“Dalam senarai kita belum lagi termasuk pemain dari sukan golf, dan harapnya memanah juga akan ada tambahan atlet. Begitu juga beberapa atlet yang akan layak menerusi wildcard. Jadi, kita boleh menjangkakan sekurang-kurangnya 30 atlet yang layak,” katanya.

Beliau yang juga pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia selepas ini akan melawat pula persiapan atlet renang, Welson Sim di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik di ibu negara pada Khamis.

23 atlet yang sudah menempah tiket Olimpik setakat ini adalah Pandalela Renong, Nur Dhabitah Sabri, Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng (terjun), Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa (berbasikal), Johnathan Wong (menembak), Welson Sim (renang), Khairul Anuar Mohd (memanah), Khairulnizam Affendy, Nur Shazrin (pelayaran), Nauraj Singh (olahraga) dan Hafifi Mansor (Angkat Berat).

Mereka akan disertai pembawa jalur gemilang Chong Wei, V Shem/Wee Keong, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Tee Jing Yi dan Woon Khe Wei/Vivian Hoo dari sukan badminton.

Pada temasya London 2012, Malaysia menghantar seramai 30 atlet dan membawa pulang satu pingat perak menerusi Chong Wei dan satu gangsa menerusi Pandalela.

- Advertisement -