Pengendali Selangor, P.Maniam mengesahkan pasukan itu telah berjaya mendapatkan khidmat Alfonso de la Cruz sebagai pemain import kelima sekaligus melengkapkan kuota import skuad Red Giants bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2018.
Maniam mengakui dia diselubungi sedikit rasa bimbang sebelum ini memandangkan Selangor hanya diperkuatkan empat import tatkala pencabar lain menggunakan sepenuhnya kuota import yang dibenarkan justeru kehadiran pemain kelahiran Sepanyol itu membolehkannya menarik nafas lega.
Pasukan itu sudahpun merekrut dua pemain Indonesia Ilham Udin Armaiyn dan Evan Dimas serta William Pacheco selain mengekalkan khidmat Rufino Segovia.
“Alfonso boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan, kita memang sedikit lemah di posisi itu pada musim lalu, dan kita juga kehilangan khidmat S.Veenod. Pemain lain pula masih kurang pengalaman, jadi ini memberi kelegaan kepada saya memandangkan Alfonso boleh menampung kelemahan itu.
“Sementara menunggu dia menyesuaikan diri, saya sudah mempersiapkan beberapa pemain antaranya Saiful Ridzuan (Selamat) dan Halim (Zainal) untuk beraksi jika diperlukan. Harapan saya adalah Alfonso dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan berada dalam keadaan sedia sepenuhnya untuk membantu cabaran kita,” kata Maniam.
Maniam ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Selangor di Plaza Alam Sentral pada Ahad.
Alfonso diberitakan pernah beraksi bersama beberapa pasukan di kelab divisyen bawahan Liga Sepanyol selain pernah memakai lilitan di lengan selaku kapten pasukan bersama CD Ebro.
Selangor adalah antara pasukan yang mempertaruhkan kudrat ramai pemain muda yang direkrut dari skuad juara Piala Presiden 2017. Mereka hanya mempunyai beberapa pemain senior sahaja termasuklah Amri Yahyah, Razman Roslan, Joseph Kalang Tie, Azamuddin Akil dan Norazlan Razali.