Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melantik Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) sebagai Rakan Perkhidmatan Kewangan Rasmi . Jalinan kerjasama yang bermakna ini membuka lembaran baharu dalam arena badminton Malaysia, yang menjanjikan peluang dan sokongan lebih besar buat pemain dan jurulatih dalam usaha mereka mencapai kecemerlangan di pentas antarabangsa.

Allianz Malaysia komited dalam melindungi kebajikan semua pemain dan jurulatih yang bersaing di peringkat antarabangsa. Menerusi kerjasama dan perkongsian ini, pemain BAM, termasuk pemain senior dan remaja serta jurulatih mereka, akan menerima perlindungan komprehensif apabila bertanding ke luar negara dalam menyertai kejohanan. Langkah itu bagi memastikan mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha meraih kejayaan.

Selain itu, Allianz Malaysia juga adalah penaja untuk kejohanan SUPER 100. Kejohanan Allianz Malaysia SUPER 100 dijadualkan berlangsung pada Oktober tahun ini di Stadium Juara , sekali gus mengukuhkan lagi peranan Allianz Malaysia sebagai penyokong utama kecemerlangan badminton negara.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, menzahirkan rasa gembira di atas kerjasama ini, “Allianz Malaysia merupakan peneraju syarikat insurans di negara ini. Di peringkat global, Allianz terlibat dalam kejohanan sukan bertaraf dunia termasuk Sukan Olimpik. Penglibatan aktif mereka dalam sukan Malaysia menjadikan kerjasama ini sangat bermakna, dan kami berbangga menerima kehadiran Allianz Malaysia dalam usahamemajukan badminton di Malaysia.”

Beliau menekankan kepentingan perkongsian ini dengan menyatakan, “Sokongan daripada pemimpin korporat seperti Allianz Malaysia amat penting dan akan memberi sumbangan besar terhadap kejayaan program kami. Kerjasama ini memberi manfaat kepada BAM dan menjadi pendorong motivasi dan galakan semangat tambahan kepada para pemain.”

Sebelum menjalin kerjasama dengan BAM, Allianz Malaysia telah giat menyokong pembangunan badminton junior di Malaysia menerusi penganjuran kejohanan popular Allianz Junior Badminton Championship (AJBC) sejak tahun 2022. Tahun lalu, lebih 3,000 pemain muda menyertai 10 Pusingan Kelayakan yang dianjurkan di pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Finalis dari setiap pusingan layak ke Peringkat Akhir AJBC, di mana semua perbelanjaan termasuk pengangkutan dan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh Allianz.

“Allianz komited menyokong sukan di peringkat global menerusi penajaan kami dalam acara sukan utama termasuk Sukan Olimpik dan Paralimpik. Di Malaysia, kami telah menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program atlet Para serta AJBC. Bersandarkan kejayaan AJBC dan impaknya terhadap pemain remaja masa depan, kami mahu melebarkan sumbangan kami kepada badminton Malaysia di peringkat kebangsaan dan yakin Allianz Malaysia mampu memainkan peranan penting dalam memajukan sukan ini,” kata Sean Wang, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad.

“Kami teruja dengan prospek kerjasama dengan BAM dan menyokong pelbagai program dan aktiviti BAM, dan saya amat gembira untuk menjadi penaja bagi acara Allianz Malaysia SUPER 100 yang dijadualkan pada akhir tahun ini,” kata beliau.

Selain kerjasama dengan BAM, Allianz Malaysia akan meneruskan komitmen bagi memupuk bakat muda menerusi program AJBC. Maklumat lanjut tentang kejohanan berkenaan yang akan memasuki edisi keempat tahun ini akan diumumkan tidak lama lagi.

- Advertisement -