Majlis Sukan Negara (MSN) dan Allianz Malaysia Berhad secara rasmi mengumumkan lanjutan kontrak penajaan bagi tempoh empat tahun bagi membantu membiayai program latihan atlet-atlet para negara daripada 2025 sehingga 2028.

Ianya adalah komitmen berterusan Allianz yang menjadi rakan penaja MSN bermula pada 2022. Kontrak baru ini menyaksikan Allianz dilantik sebagai rakan strategik dan penaja utama program atlet-atlet para, termasuk bagi temasya sukan utama seperti Sukan Para ASEAN 2025 dan 2027, Sukan Para Asia 2026 serta Sukan Paralimpik 2028.

“MSN amat gembira dengan lanjutan kontrak penajaan ini kerana ia membuktikan kerjasama sedia ada di antara kedua-dua pihak berlangsung dengan baik. Penajaan ini akan menyumbang kepada pembiayaan kos latihan dan persiapan atlet para untuk beberapa temasya sukan utama dunia yang akan datang.

“Bagi pihak MSN dan barisan atlet para negara, kami amat berterima kasih kepada pengurusan dan semua warga kerja Allianz Malaysia Berhad,” kata Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Pengumuman yang dibuat sebelum Kontinjen Para Malaysia berangkat ke Paris untuk Sukan Paralimpik 2024 ini adalah bukti keyakinan Allianz Malaysia terhadap atlet-atlet para negara.

“Allianz Malaysia amat gembira dengan pengumuman lanjutan kontrak penajaan bersama MSN ini. Atlet-atlet para Malaysia telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa dan kami yakin mereka mampu mengibarkan Jalur Gemilang dengan megahnya di Sukan Paralimpik Paris 2024 nanti.

“Kami juga yakin dengan pengumuman lanjutan penajaan ini akan menyemarakkan lagi semangat juara semua para atlet kita semasa bertanding nanti. Allianz akan terus menyokong anda. Allianz juga memberikan perlindungan insurans perjalanan kepada semua Kontinjen Para Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang.

Perjanjian rakan strategik itu juga bakal menyaksikan Allianz Malaysia menjadi penaja utama kepada sirkit pertandingan para selain membolehkan syarikat berkenaan meneruskan inisiatif program ‘Allianz MoveForward’ dalam memberikan bantuan dan sokongan untuk atlet yang mahu mencari laluan kerjaya baharu selepas bersara daripada menjadi atlet kebangsaan.

- Advertisement -