Pengendali skuad Sukan SEA negara, Dato’ Ong Kim Swee menuntut kesemua 22 pemain yang akan dibawanya untuk aksi persahabatan di Jelajah China bulan depan agar menunjukkan prestasi menepati tahap antarabangsa atau mereka akan serta-merta digugurkan daripada skuad.
Dengan berbaki 78 hari sahaja lagi untuk berlangsungnya temasya Kuala Lumpur 2017 tatkala Malaysia pula membawa harapan besar mahu merampas semula pingat emas yang kali terakhir dimenangi di Indonesia 2011, Kim Swee mahu skuadnya hanya dibarisi pemain yang benar-benar komited.
“Saya telah memanggil 26 pemain untuk latihan pusat ini dan sebelum ke China, saya akan gugurkan empat pemain. Jadi, saya harap pemain yang dibawa ini akan tunjukkan mengapa mereka berhak kekal di dalam pasukan. Jika tidak, sebaik pulang ke Malaysia, saya akan gugurkan mereka kerana saya tidak mahu ada penumpang dalam pasukan.
“Saya mempunyai seramai 45 pemain dan akan memanggil baki pemain yang ada untuk mengisi tempat pemain yang digugurkan bagi menjalani latihan dan perlawanan persahabatan seminggu sebelum kem berakhir.
“Saya akan rombak dan buat perubahan pada formasi dan strategi sekiranya perlu. Kita sudah tidak punyai banyak masa, saya berharap mereka akan gunakan peluang dan kepercayaan yang diberi,” ujar Kim Swee yang dilantik menggantikan Frank Bernhardt pada Mac lalu.
Pasukan B-23 kebangsaan akan berlepas ke Xiantan, China pada 8 Jun depan untuk tiga aksi persahabatan menentang skuad B-22 China pada 10 Jun, diikuti perlawanan menentang skuad simpanan Guangzhou R&F (11 Jun) dan Guangzhou Evergrande (13 Jun) sebelum pulang ke tanah air pada 17 Jun manakala latihan pusat berakhir 23 Jun.
Sementara itu, Kim Swee berkata saingan Kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok pada Julai nanti akan memberikan gambaran awal mengenai sejauh mana kekuatan dan kemampuan pasukan negara untuk memberikan cabaran di KL 2017 nanti.
“Di Bangkok, kita akan turut berdepan dua pasukan Asia Tenggara iaitu Thailand dan Indonesia dalam Kumpulan H, sudah tentu ia boleh dianggap sebagai pra Sukan SEA. Selain menilai pasukan sendiri, ia peluang terbaik untuk kita melihat sejauh mana persiapan pasukan pencabar kita yang lain bagi menghadapi Sukan SEA.
“Apa sekalipun, saya mahu kita tumpukan dulu pada pusingan kelayakan dan cuba mara sejauh mungkin. Saya berpendapat prestasi yang baik di pusingan kelayakan itu nanti akan memberikan motivasi dan semangat buat pemain bagi memburu gemilang di Sukan SEA di hadapan jutaan penyokong sendiri,” ujar pengendali berusia 47 tahun itu.
Untuk rekod, selepas meraih emas di Indonesia pada 2011 ketika itu di bawah kendalian Kim Swee, langkahan Malaysia tersekat di separuh akhir pada edisi Myanmar 2013 dan lebih malang di Singapura 2015 apabila gagal melepasi halangan peringkat kumpulan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN Â Â