Oleh Ku Mohd Lufti
Datuk Amarjit Singh dilantik untuk mengetuai jawatankuasa Doping Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkuatkuasa serta merta.
Kewujudan Jawatankuasa Doping ACC adalah hasil usul yang dibawa Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan diluluskan badan induk benua Asia tersebut ketika Mesyuarat Kongres ACC 2016 di Tokyo, Jepun Januari lalu.
Naib Presiden ACC, Datuk Abu Samah Abd Wahab menegaskan pengesahan kelulusan usul tersebut diterima minggu lalu sekaligus membuktikan Malaysia terus konsisten dalam memperjuang masa depan sukan berbasikal di Asia.
“Ini satu pengiktirafan berganda kepada Malaysia. Pertama, usul Malaysia diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC. Keduanya, ACC lantik anak Malaysia ketuai jawatankuasa yang sangat penting ini.
“Bagi saya, ini adalah satu pencapaian luar biasa. Saya percaya Datuk Amarjit mampu untuk memikul tanggungjawab besar ini dengan penuh dedikasi dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PKBM.
Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) menegaskan Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC memandang serius gejala doping di Asia kerana beberapa pasukan termasuk pasukan Pro-Tour dari Kazakhstan, Astana Pro Team dan Iran.
“Saya berharap Datuk Amarjit akan berperanan meyakinkan pasukan TPT (Tabriz Petrochemical Team) agar segera lakukan pembersihan di dalam pasukan tersebut. Dalam hal ini, pengurusan terbaru TPT sudah bertemu saya di Udon Ratchathani baru-baru ini.
“Pada pertemuan tersebut, pengurusan baru TPT beritahu saya bahawa mereka telah pecat beberapa pelumba yang dikaitkan isu doping. Saya berharap Datuk Amarjit akan tangani isu doping di Kazakhstan, Iran dan seluruh Asia dengan penuh cemerlang,” katanya.
Datuk Amarjit yang juga seorang peguam menyambut baik perlantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Doping ACC dan berikrar akan menjalankan tugasnya dengan penuh cemerlang.
“Ini satu penghargaan besar kepada Malaysia kerana usul ini dibawa sendiri oleh Presiden MNCF. Saya akan bekerja keras untuk harumkan nama Malaysia,” katanya.
Dalam kebanggaan PKBM terhadap perlantikan Datuk Amarjit, mereka tampak masih dibuai mimpi sedangkan masih tiada perancangan khusus dalam mempersiapkan pasukan menjelang Sukan SEA 2017.
Awal tahun ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menolak cadangan yang diusulkan oleh PKBM tentang senarai pelumba dan jurulatih kebangsaan untuk persiapan ke Sukan SEA 2017.
Malah, PKBM sebelum ini dipalit dengan isu apabila Pejabat Pesuruhjaya Sukan menggantung pendaftaran persatuan ini susulan salah guna kewangan yang disalurkan oleh Kementerian Belia Dan Sukan pada 2014.
Terbaru, PKBM bersikap lepas tangan dan menunding jari ke arah Majlis Sukan Negara, MSN susulan janji untuk memberi elaun kepada pelumba lebuhraya andai berjaya membutirkan pingat emas.