2016 AFF Suzuki Cup - Harimau Malaya Malaysia Team

Malaysia akan turun menentang Thailand dalam aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 pada 1 dan 5 Disember depan.

Skuad Harimau Malaya yang muncul juara pada 2010 dan kali terakhir layak ke final pada 2014 memburu penampilan keempat di pentas final manakala Thailand yang merupakan juara bertahan dan juga juara lima kali memburu penampilan final yang kesembilan.

Kedua-dua pasukan mempunyai sejarah permusuhan yang menarik sejak dari edisi pertama pertandingan lagi pada 1996 (dikenali Piala Tiger) di mana mereka dipertemukan dua kali ketika itu termasuk aksi final yang mana Thailand muncul juara kali pertama dengan mengecewakan Malaysia 1-0 menerusi jaringan tunggal Kiatisuk Senamuang.

Mereka tidak bertembung pada edisi 1998 namun bermula edisi 2000, kedua-dua pasukan bertemu dalam lapan edisi berturut-turut sebanyak 11 kali.

Dalam 11 pertemuan itu, Malaysia hanya menang tiga kali manakala Thailand menang enam kali dan selebihnya berkesudahan seri.

Jom kita mengimbau semula tiga kemenangan tersebut yang dilakar pada edisi 2002, 2004 dan 2014 dan semoga ia membakar inspirasi skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk cuba mengulanginya pada edisi kali ini.

Malaysia 3-1 Thailand (21 Disember, Piala AFF 2002)

Barisan muda negara ketinggalan 0-1 menerusi jaringan sepakan percuma dari jarak 25 meter oleh Therdsak Chaiman pada minit ke-23.

Namun seminit sebelum berakhir separuh masa pertama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berjyaa mengikat kedudukan 1-1 setelah merembat masuk dari jarak dekat berpunca daripada percubaan sepakan percuma Indra Putra Mahyudin yang melantun ke arahnya setelah terkena penjaga gol.

Ketua pasukan, Tengku Hazman Raja Hassan menceriakan kem negara apabila menyempurnakan hantaran Nizaruddin Yusoff untuk meletakkan Malaysia di depan 2-1 pada minit ke-66.

Thailand terus tertekan dan semakin parah apabila terpaksa beraksi 10 pemain pada 12 minit terakhir permainan setelah Sakda Joemdee diperintah keluar padang gara-gara mengutip kad kuning kedua.

Skuad bimbingan Allan Harris berpeluang menambah jaringan pada minit ke-80 namun sayang sekali Indra Putra gagal menyempurnakan penalti yang dihadiahkan setelah Zainizam Marjan dikasari. Indra bagaimanapun menebus kesilapannya itu apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-86.

Kemenangan menyaksikan Malaysia menempah tiket beraksi di separuh akhir.

Malaysia 2-1 Thailand (15 Disember, Piala AFF Suzuki 2004)

Tewas kepada Myanmar dalam aksi terdahulu, Malaysia tiada pilihan selain perlu menang ke atas Thailand jika tidak mahu berputih mata tersingkir awal dan mereka melakukannya dengan penuh bergaya di hadapan lebih 15,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Khalid Jamlus yang dikritik hebat susulan prestasi suram memahat nama sebagai wira apabila dua jaringannya membantu Malaysia mengesahkan tempat di separuh akhir dengan mengecewakan penyandang juara Thailand menerusi kemenangan 2-1 sekaligus memusnahkan impian Thailand untuk mencipta hatrik menjulang Piala Tiger.

Ini adalah kali keempat Malaysia mara ke separuh akhir selepas melakukannya pada 1996, 2000 dan 2002.

Malaysia ketinggalan selepas penyerang Thailand, Sarayoot Chaikamdee merembat masuk hantaran Sarif Sainui menewaskan Syamsuri Mustafa di gawang Malaysia pada minit akhir babak pertama hasil serangan balas pantas.

Pemain Malaysia membantah keputusan penjaga garisan yang membenarkan gol tersebut dengan mendakwa Sainui berada pada posisi ofsaid namun tidak berhasil merubah keputusan pengadil.

Perlawanan babak kedua tergendala beberapa minit ekoran kemasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keadaan yang semakin tegang.

Pengendali, Bertalan Bisckei membawa masuk V.Saravana n menggantikan D. Surendran dan ianya percaturan yang membuahkan hasil apabila Khalid meledak dua jaringan pada minit ke-62 menerusi sepakan jarak dekat dan tandukan cantik pada minit ke-64 – kedua-duanya hasil umpanan Saravanan.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia akan berdepan dengan juara Kumpulan A, Indonesia pada saingan separuh akhir pertama 28 Disember di Jakarta manakala perlawanan kedua pula di Kuala Lumpur pada 1 Januari 2005.

Malaysia 3-2 Thailand (20 Disember, Final Piala AFF Suzuki 2014)

Malaysia bimbingan Dollah Salleh turun ke perlawanan ini dengan tugas sukar untuk menterbalikkan deficit dua jaringan selepas tewas 0-2 dalam aksi pertama di Bangkok.

Begitupun di hadapan puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, sang harimau mengaum garang dan memberi bayangan dapat mencipta kebangkitan luar biasa apabila jaringan penalty Safiq Rahim seawall minit keenam dan gol oleh pemain veteran Indra Putra Mahyudin berjaya mengikat agregat 2-2 sebelum menuju ke rehat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Safiq Rahim menjaringkan gol ketiga Harimau Malaya menerusi sepakan percuma cantic pada minit ke -58 dan ketika kejuaraan begtu hampir beada dala genggaman, dua gol pantas oleh Charyll Chapuis dan Chanathip Songkrasin pada minit ke-82 dan 87 meleburkan impian besar Malaysia.

Thailand muncul juara buat kali keempat dan itu menjadi petembungan terkhir kedua-dua pasukan di pentas Piala AFF.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

**Informasi dari Fox Sports dan Utusan Malaysia turut digunakan dalam artikel ini.

- Advertisement -