Bekas pemain pertahanan Kelantan, Amiridzwan Taj Tajuddin jelas cukup berang dengan kerenah Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan.
Pemain yang kini menyarung jersi Perlis itu tidak dapat lagi bersabar dengan sikap main-main KAFA yang tidak sedikitpun menunjukkan usaha untuk membayar tunggakan gajinya lebih tujuh bulan sejak dari April lalu dan mendedahkan terlalu banyak bertolak ansur menjadikan KAFA ‘naik lemak’.
“Saya sebenarnya sudah banyak bertolak ansur dengan KAFA mahupun Bibi, bersabar walaupun saya ditindas sebabnya saya fikir tidak mahu keruhkan keadaan, saya fikir mahu jaga hubungan baik. Tetapi setiap kesabaran itu ada batasnya, saya lihat apabila kita berdiam, maka mereka pijak kepala.
“Saya disisihkan dari skuad tanpa alasan, datang jurulatih baru tiba-tiba cakap saya tiada dalam perancangan, mereka panggil nak tamatkan kontrak tapi tawar pampasan langsung tidak setimpal, mungkin dia rasa dia pandai sangat.
“Bila kita tidak bersetuju, ‘didera’ pula dengan tidak bagi menyertai latihan bersama rakan sepasukan lain, suruh berlatih bersendirian, paling saya ingat berlatih di bawah terik matahari pada bulan puasa. Itu antara sikap tolak ansur yang saya dan beberapa rakan lain yang turut menjadi mangsa tunjukkan demi menghormati kontrak.
“Saya kali terakhir terima gaji pada April (separuh), malah saya juga pernah memberitahu puan Presiden beberapa bulan lepas bahawa saya sedia memberi ‘diskaun’ tiga bulan, tak perlu bayar pampasan penuh tujuh bulan baki kontrak, bayar empat bulan serta baki separuh gaji bulan April sudah memadai.
“Dia kata bulan 11 akan bayar, kemudian bulan 12, sekarang kata bulan 1 (2019) pulak. Siapa yang tidak hilang sabar apabila dipermainkan begini. Jadilah orang yang ada pendirian, apa guna dekat luar sahaja nampak seperti seorang yang berkarakter dan dihormati.
“Setelah berterusan dipermainkan, saya pun sudah bagitahu KAFA saya batalkan tawaran diskaun tiga bulan gaji, sekarang saya minta mereka jelaskan pampasan penuh. Bila kita bertolak ansur mereka tidak ambil serius, mereka main-main, tiada kesungguhan,” ujar bekas pertahanan kebangsaan itu.
Sebagai rekod, Amiridzwan pernah menyarung jersi Kelantan pada musim 2015 namun krisis kewangan KAFA yang dipimpin Tan Sri Annuar Musa ketika itu menyebabkannya angkat kaki menyarung jersi Terengganu.
Kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) bagaimanapun menyaksikan kontraknya ditamatkan lebih awal oleh sang penyu sebelum dia menyertai PKNS FC pada 2017 dan kembali ke Kelantan untuk musim 2018. MUHD AIMAN