Amirulhadi-Zainal

Oleh Muhammad Aiman

Pemain tengah Johor Darul Takzim, Amirulhadi Zainal kembali ke dalam skuad kebangsaan selepas lima tahun tersisih, apabila disenaraikan Dato’ Ong Kim Swee bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Myanmar dan dua aksi play-off Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste.

Pemain berusia 30 tahun itu yang sebelum ini lebih banyak memanaskan bangku simpanan JDT, tampil membalas kepercayaan Mario Gomez dengan deretan aksi impresif dan menjadi antara tonggak utama skuad Harimau Selatan menjulang Piala FA 2016.

Justeru Kim Swee berpendapat prestasi semasa Amirulhadi yang keluar dari label selaku pemain pilihan kedua dan mengukuhkan tempatnya di dalam kesebelasan utama JDT sudah cukup untuk meyakinkannya tentang kredibiliti pemain itu.

“Saya yakin Amirulhadi masih ada sesuatu untuk dibuktikan, lima tahun tidak beraksi bersama skuad kebangsaan bukan satu masalah jika anda melihat kepada prestasi semasanya. Dia miliki kualiti dan pengalaman, sudah tentu ia beri kelebihan kepada kita,” kata Kim Swee pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM.

Kali terakhir Amirulhadi menyarung jersi kebangsaan adalah pada 28 Julai 2011, pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura yang berkesudahan seri 1-1.

Selain Amirulhadi, turut kembali ke dalam skuad kebangsaan adalah tiga rakan sepasukan di JDT iaitu Junior Eldstal, Fazly Mazlan dan S.Chanturu, Fakri Saarani (Kedah), dua tonggak Selangor R.Gopinathan dan Ahmad Hazwan Bakri serta Christie Jayaseelan dari Felda United.  

Penyerang muda S.Kumaahran pula bakal diberi peluang membarisi rangkaian serangan diketuai Amri Yahyah, manakala Abdul Latiff Suhaimi (PDRM) dan Khair Muhammad Jefri Jones pula pertama kali dipanggil ke kem kebangsaan.

“Khair menunjukkan aksi yang cemerlang sebagai bek kiri, kita kehilangan Nazirul Naim kerana cedera jadi Fazly dan Khair adalah pilihan terbaik kita ada buat masa ini. Abdul Latiff pula beraksi secara konsisten, dan banyak membantu tengah PDRM, ini antara kriteria yang kita nilai sebelum memanggil mereka,” jelas Kim Swee lagi.

Untuk rekod, Kim Swee hanya mengekalkan seramai 14 pemain daripada skuad 24 pemain yang tewas 0-2 kepada Arab Saudi pada aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2018 di Jeddah 24 Mac lalu, diikuti seri 0-0 menentang Macau lima hari kemudian.

Antara nama-nama yang tersisih dari skuad kali ini adalah Wan Zack Haikal, Norshahrul Idlan Talaha, Nazmi Faiz, Joseph Kalang Tie dan Hafiz Kamal.

Seramai 15 pemain akan melapor diri untuk latihan pusat di Wisma FAM pada 22 Mei disusuli 10 pemain dari JDT yang akan melapor diri pada 26 Mei, sehari selepas aksi pusingan kedua Piala AFC JDT menentang Kaya FC di Larkin.

Malaysia akan bertemu Myanmar pada 28 Mei, sebelum menentang Timor Leste dalam aksi timbal balik di Larkin pada 2 dan 6 Jun depan.

 

Senarai 25 pemain Malaysia :

Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Izham Tarmizi Roslan (JDT), Farhan Abu Bakar (Kedah)

Pertahanan: Aidil Zafuan, Fadhli Shas, Junior Eldstal, S.Kunanlan, Fazly Mazlan (JDT), Shahrom Kalam (Selangor), Matthew Davies (Pahang), Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka)

Tengah: Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, S.Chanthuru (JDT), Azrif Nasrulhaq, R.Gopinathan (Selangor), Baddrol Bakhtiar, Amirul Hisyam Awang Kechik, Fakri Saarani (Kedah), Brendan Gan (Kelantan), Christie Jayaseelan (Felda Utd), Abdul Latiff Suhaimi (PDRM)

Penyerang: S. Kumaahran (P.Pinang), Hazwan Bakri (Selangor), Amri Yahyah (JDT)

- Advertisement -