foto – Northern Lions Perlis

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie menafikan keharmonian di dalam pasukan itu terjejas dek kerana kemelut tunggakan gaji yang semakin meleret dan percaya pemain-pemain tetap bersemangat dan komited untuk membantu perjuangan pasukan itu.

Sambil menyatakan isu itu akan cuba diselesaikan dalam tempoh terdekat, Amizal bagaimanapun tidak memberi jaminan ia akan selesai sebelum perlawanan kedua Perlis menentang Uitm pada 8 Februari ini.

Dia juga menafikan dakwaan bahawa beberapa pemain utama akan meninggalkan pasukan jika ia gagal dinoktahkan dalam minggu ini walaupun baru-baru ini Badhri Radzi pernah melaungkan amaran tersebut, manakala Safee Sali pula telah membuat laporan kepada Persatuan Pemain Profesional Malaysia.

Malah perkembangan terbaru, pemain tengah, Fakhrullah Rosli yang diiturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang UKM FC juga sudah meninggalkan pasukan untuk menyertai SAMB FC.

ā€œOrang boleh bercakap di luar tetapi apa yang berlaku di dalam, saya rasa pasukan berada dalam harmoni, tidak seperti yang digambarkan dalam media sosial dan sebagainya. Saya minta kerjasama dengan semua penyokong untuk beri ruang dan masa kepada pasukan kerana kita baru saja bermula.

ā€œBanyak impak negatif kami dapat yang boleh menyukarkan perancangan asal dan boleh mempengaruhi persiapan pasukan. Apapun kita akan berusaha dan saya selaku presiden akan selesaikan isu ini dalam masa terdekat.

ā€œKami masih baru. Kalau hari ini saya ambil alih dan tiga tahun lagi perkara ini masih berlaku, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya. Tetapi saya baru tiga bulan. Kalau bayi apa yang dia boleh buat dalam tiga bulan?,ā€ kata Amizal.

Mengikut perjanjian di dalam kontrak, pemain-pemain sepatutnya menerima gaji pertama bagi bulan Disember pada 7 Januari lalu namun seperti diketahui, PFA beberapa kali menangguhkan pembayaran dengan pelbagai alasan dan tidak membayarnya walaupun telah beberapa kali berjanji.Ā 

Sekiranya pada 7 Februari masih tiada pembayaran dibuat, ianya akan menjadi tunggakan dua bulan gaji dan tiada kepastian pemain akan terus percaya kepada kata-kata manis Amizal. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -