Jaringan penyerang veteran, Amri Yahyah sembilan minit sebelum tamat permainan membantu Selangor mencatat keputusan seri 1-1 menentang Perak di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Selasa.
Perak yang berada di tangga kedua dan memerlukan kemenangan untuk menghambat pendahulu Johor Darul Takzim yang berkelebihan 11 mata di tangga teratas, mendahului menerusi jaringan Alfonso de la Cruz pada minit ke-43.
Begitupun Red Giants menafikan hajat skuad bimbingan Mehmet Durakovic untuk membawa pulang tiga mata menerusi penyudah Amri pada minit ke-81.
Satu mata yang diraih menyaksikan Perak sekadar mengecilkan jurang kepada 10 mata dengan JDT dan kekal di tangga kedua dengan 28 mata, manakala Selangor kekal di tangga kelapan dengan 19 mata.
Pahang pula mengukuhkan cengkaman di kedudukan tiga teratas setelah membenam Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Darulmakmur menerusi jaringan Issey Nakajima Farran pada minit ke-7 dan 65 serta Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-71
Skuad Jang membalas menerusi Fauzan Dzulkifli pada minit ke-83. Pahang menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 27 mata manakala Negeri Sembilan pula kekal di tempat ke-11 dengan 12 mata.
Aksi lain menyaksikan Melaka kembali ke landasan kemenangan setelah menewaskan PKNP FC 2-1 di Stadium Ipoh, Perak dan melonjak ke tangga ketujuh dengan 20 mata.
PKNP mendahului menerusi jaringan Shahrel Fikri Fauzi pada minit ke-56 namun Melaka bangkit menerusi jaringan Lee Chang Hoon pada minit ke-65 sebelum Ifedayo Olusegun meledak jaringan kemenangan pada masa kecederaan.
Manakala di Kota Bharu, tuan rumah Kelantan seperti dijangka tewas 0-2 kepada PKNS FC dan kekal menghuni tangga tercorot dengan hanya 11 mata.
Bruno Oliveira de Matos menjaringkan kedua-dua gol buat skuad Datuk K.Rajagobal pada minit keempat dan 86 namun PKNS kekal di tangga keenam dengan 23 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN