Bekas pemain Kelantan, Amri Fazal Mohd Noor menyimpan hasrat mahu kembali menyarung jersi pasukan itu bagi saingan musim baru Liga Malaysia.

Pemain berusia 29 tahun itu ketika ini sedang menjalani ujian pemilihan bersama pasukan The Red Warriors di bawah bimbingan jurulatih Sathit Bensoh sejak Sabtu lalu dan meletakkan harapan cukup tinggi dapat memikat panel kejurulatihan. 

Amri bukanlah nama asing bagi peminat setia bolasepak Kelantan. Dia antara nama yang menyerlah ketika era kebangkitan bolasepak negeri ini pada 2006 ketika usianya baru 19 tahun  dan berhijrah  menimba pengalaman bersama pasukan luar selepas membawa Kelantan layak ke Liga Super pada penghujung 2007. 

Dalam tempoh 10 tahun selepas itu, Amri telah menyumbang kudrat bersama pasukan-pasukan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2008 dan 2012, Kuala Lumpur (2009), Sabah (2010), Pos Malaysia (2011), KL SPA (2013), Perlis (2014), Real Mulia FC (2015) dan yang terakhir bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) FC pada 2016.

“Selepas semusim bersama MPKB, saya mengambil keputusan berehat selama semusim untuk cergas dan pulih sepenuhnya dari kecederaan. Walaupun setahun tidak beraksi dengan mana-mana pasukan, saya tetap menjaga kecergasan, stamina, fizikal agar sentiasa berada di tahap terbaik.

“Saya melakukan latihan sendiri, pergi ke gym, membina semula otot-otot dan kini saya lebih yakin, lebih bermotivasi. Keinginan saya untuk kembali bersama Kelantan sangat kuat, kerana inilah tanah tumpah darah saya, di sinilah saya mula mencipta nama.

“Perasaan dan aura menyarung jersi negeri kelahiran tidak sama seperti menyarung jersi pasukan lain. Saya masih ingat, ketika 2007, apabila melangkah masuk ke padang, bulu roma berdiri mendengar sorakan keramat para penyokong. Itulah kelebihan apabila kita bermain demi negeri kelahiran kita, saya ingin merasai semula suasana tersebut,” katanya kepada Sports247.  

Tambah pemain kelahiran Pengkalan Chepa itu, antara faktor lain yang turut mendorongnya mahu kembali memperkuatkan TRW adalah kerana pembaharuan yang dibawa oleh presiden baru, Bibi Ramjani Ilias Khan.

“Saya lihat beliau telah banyak membawa perubahan, kebajikan pemain nampak terjaga. Saya cukup tertarik dengan idea pembentukan semula pasukan dengan menggunakan kudrat pemain muda, ini satu idea yang sangat bagus.

“Saya percaya jika diberi peluang, saya juga boleh membimbing pemain muda ini. Pemain-pemain seperti Badhri Radzi, Farisham Ismail semua pernah bermain bersama saya dulu. Saya berharap pengalaman yang ada dapat digunakan sebaik mungkin untuk menaikkan semula pasukan Kelantan,” kata Amri yang turut pernah membarisi skuad B-17 kebangsaan pada 2005.

Selain Amri yang boleh beraksi di beberapa posisi seperti bek kanan, bek kiri, sayap dan juga penyerang, Kelantan juga sedang menguji beberapa pemain lain antaranya Shafiq Shaharudin dari JDT II dan tiga pemain import dari Brazil iaitu Thiago Furtuoso, Cassio De Jesus dan Pedro Henrique Oliveira.

Setakat ini Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) telah menandatangani khidmat S.Veenod dari Selangor dan Do Dong Hyun dari Uitm FC manakala Norfarhan Mohamad pula telah menyambung kontraknya bersama Kelantan beberapa hari lalu.OLEH MUHD AIMAN 

 

 

 

- Advertisement -