Oleh Muhammad Aiman
Pemain skuash wanita remaja negara, Andrea Lee meletakkan sasaran besar mahu menjuarai Kejohanan Skuash Remaja Dunia yang akan berlangsung di New Zealand tahun depan.
Andrea berkata kejayaan dilakar pemain lelaki, Ng Eain Yow yang muncul juara remaja dunia di Poland beberapa bulan lalu memberikannya suntikan motivasi untuk mengikut jejak sama dan berpendapat ia akan menjadi hadiah terbaik buat dirinya yang akan beraksi dalam tahun terakhir di kategori remaja, tahun depan.
“Eain Yow lakukannya tahun ini selepas dua kali gagal. Saya masih ada satu peluang tahun depan, sebelum mengakhiri penyertaan di peringkat remaja, memang sasaran saya menjadi juara remaja dunia. Ia akan jadi sumber inspirasi untuk saya terus melangkah,” kata Andrea.
Ketika ini, pemain berusia 18 tahun itu sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Skuash Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur-REDtone 2016 yang dijadual berlangsung minggu depan.
Dia yang merupakan juara bertahan bagi kategori wanita B-19 berkata, “Saya telah muncul juara dua musim berturut-turut pada 2014 dan 2015, jadi untuk mempertahan kejuaraan buat musim ketiga memang tekanan cukup tinggi.
“Lagipun saya baru sahaja pulih dari kecederaan buku lali dan baru mula latihan penuh minggu ini. Masih dalam keadaan kurang bersedia, tetapi saya cuba buat yang terbaik. Saya jangka saingan akan menjadi getir dan lebih sukar apabila tiba peringkat separuh akhir.”