Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah belum terfikir untuk menoktahkan kariernya sebagai pemain meskipun masih belum mendapat pasukan baru selepas kontrak bersama Kelantan berakhir bulan lalu.
Pemain veteran berusia 36 tahun itu bersama-sama beberapa pemain senior lain seperti Zairul Fitri Ishak, S.Subramaniam dan Indra Putra Mahyuddin tidak dilanjutkan kontrak oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam usaha pasukan itu membentuk semula sebuah pasukan dengan bersandarkan kepada tenaga pemain muda.
Walaupun sedar prestasinya semakin dimamah usia, Norhafiz Zamani yang turut boleh beraksi sebagai pemain tengah bertahan percaya dia masih boleh beraksi di pentas kompetitif untuk beberapa tahun lagi dan bersedia memberikan yang terbaik sama ada bersama pasukan Liga Super mahupun Liga Premier.
“Sebolehnya saya mahu terus bersama Kelantan, saya selesa dengan layanan penyokong dan menganggap ia sebagai rumah kedua, tetapi tiada rezeki. Saya tidak berputus asa, saya mahu teruskan perjuangan dan sekarang saya sedang mencari pasukan baru dan meneliti beberapa tawaran.
“Usia hanyalah satu angka, ramai lagi rakan seangkatan saya masih berada pada tahap terbaik walaupun sudah melebihi usia 35 tahun termasuklah Indra, Shukor Adan, Juzaili (Samion). Jadi saya yakin saya juga masih boleh menyumbang kudrat dan pengalaman kepada pasukan baru nanti. Lagipun saya bebas kecederaan dan kecergasan saya memuaskan,” ujar pemain itu.
Sepanjang tiga musim bersama The Red Warriors bermula 2015, Norhafiz Zamani atau lebih dikenali sebagai angah di kalangan peminat tidak berjaya memenangi sebarang trofi dengan pencapaian terbaik adalah naib juara Piala FA 2015 setelah tewas kepada Lions XII dalam aksi final.
Namun, sebelum menyertai Kelantan, Norhafiz Zamani yang juga bekas kapten Harimau Malaya pernah mendakap pelbagai kejuaraan dalam karier gemilangnya termasuklah Piala FA bersama Negeri Sembilan (2003) dan Pahang (2006) serta Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan (2011). – OLEH MUHAMMAD AIMAN