9th ASEAN Para Games 2017 - RIMAU MaskotLe Van Cong melakukannya sekali lagi! Atlet angkat berat itu meraih pingat emas Sukan Para ASEAN keenam berturut-turut sejak penampilan sulungnya pada 2007 dengan angkatan 181kg bagi kategori 49kg lelaki di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin (18 Sept).

Van Cong, 33, yang mula menceburi powerlifting pada usia 22 tahun dan 10 tahun kemudian memenangi pingat emas di Olimpik Rio, juga memperbaharui rekod kejohanan dengan memadam catatan 178kg dibuat di Singapura dua tahun lepas.

Pia, atlet dari Laos, meraih pingat perak dengan angkatan 130kg manakala rakan senegaranya, Siman Eay mendapat gangsa (114kg).

Nguyen Binh An, juga dari Vietnam, turut berkongsi kegembiraan bersama Van Cong kerana memenangi emas dalam kategori 54kg lelaki dengan rekod baru kejohanan 181kg. Rekod lama 175kg dicatat dua tahun lepas.

Amorntep Pongsa dari Thailand memenangi perak (130kg) dan Silverio N Soares dari Timor Leste pingat gangsa (100kg).

Atlet powerlifting Indonesia, Nur Jannah Kamsyah dan Ni Nengah Widiasih turut bergembira kerana merangkul pingat emas, masing-masing dalam kategori 41kg dan 45kg.

Nur Jannah membuat angkatan 75kg untuk pingat emas bagi kategori 41kg manakala atlet Malaysia berusia 15 tahun, Nurul Rabiatul Adawiyah Bakri yang berasal dari Miri membuat catatan 38kg untuk pingat perak selepas dua peserta Filipina –Marydol Jatayna Pamati-an dan Achelle Hofilena Guion gagal dalam ketiga-tiga angkatan mereka.

Dalam kategori 45kg, Ni Nengah menang emas dengan angkatan 96kg diikuti pingat perak oleh Nguyen Thi Hong dari Vietnam (80kg) dan peserta Thai Withieera Jaitong gangsa (60kg).

 

APA KATA MEREKA:

“Saya amat gembira dengan pencapaian saya memenangi emasa keenam dalam Sukan Para. Ini saat yang amat menggembirakan bagi saya bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Mexico pada 29 Sept.” – LE VAN CONG

- Advertisement -