Angkor Wat International Half Marathon akan diadakan pada 24 Januari di Wilayah Siem Reap setelah ditunda akibat penularan Covid-19.
Pengumuman tarikh baru itu turut diikuti dengan peringatan kepada peserta agar mengikut protokol kesihatan.
Angkor Wat International Half Marathon diadakan sehari selepas Kejohanan Berbasikal Nasional yang turut diadakan di Wilayah Siem Reap pada 23 Januari.
Acara terunggul di Kemboja itu yang memasuki edisi ke 25 pada awalnya dijadualkan pada 6 Disember 2020 dan kemudian pihak penganjuran memutuskan untuk menunda acara itu.
Walaupun penyertaan antarabangsa mencecah lebih dari 10,000 penyertaan pada edisi sebelum ini, disebabkan penularan Covid-19, Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Nasional Kemboja (NOCC), Vath Chamroeun mengatakan bahawa penganjuran kali ini terpaksa menghadkan jumlah peserta memandangkan keadaan semasa.
Sebelum ini, antara negara yang menyertai marathon ini termasuk dari, Kemboja, Perancis, United Kingdon, Filipina, Amerika Syarikat, Malaysia, Thailand, Vietnam, China, Jerman, Belanda, Itali, Turki, Rusia, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan lain-lain negara lagi.
Saeki Makino dari Jepun adalah antara peserta marathon terkemuka dunia yang pernah menyertai acara ini.
Menurut Chamroeun lagi, persiapan acara ini turut mengikut protokol kesihatan yang ketat bagi mencegah penyebaran virus itu. Kemboja setakat ini mendaftar 383 kes tanpa kematian.
Tambahnya lagi, Angkor Wat International Half Marathon akan menarik ramai pengunjung tempatan dan asing ke Siem Reap dan ini dapat membantu menghidupkan kembali industri pelancongan.
Terdapat enam kategori perlumbaan: 21k kerusi roda, 21k separuh marathon, 10k, 10k bagi lengan/kaki buatan serta 5k dan 3k “fun run”
Angkor Wat International Half Marathon adalah usaha sama NOCC, Kementerian Pelancongan Kemboja, Persatuan Pesekutuan Atlet Kemboja dan Penganjur Acara Kemboja serta penaja utama, Manulife Cambodia.- Oleh Siti Zafirah Kamal