Siapa sangka, Annastasia Karen Raj boleh melalui transformasi hebat dari seorang pelayan di hotel, menjadi atlet kebangsaan dan membuat penampilan di Sukan Olimpik.
Atlet kelahiran Sentul ini, baru berusia 17 tahun ketika dia bekerja sebagai pelayan separuh masa di Hotel Concorde, pada 1992.
“Empat tahun kemudian, saya diraikan di hotel sama sebagai penerima Anugerah Olympian 1996. Orang sama yang bekerja dengan saya sebelum ini, melayani saya. Ia macam satu mimpi,” imbasnya.
Anna berusia 21 tahun apabila dia menjadi atlet lumba jalan kaki pertama dari Malaysia layak ke Sukan Olimpik Atlanta 1996, yang mana dia mengakhiri perlumbaan 10 kilometer di kedudukan ke-24 dari 46 peserta dengan catatan rekod baru kebangsaan 45 minit 47.00 s.
Ketika itu dia digelar ratu ‘pecah rekod’ kerana memperbaharui rekod kebangsaan sebanyak 13 kali dalam masa empat tahun.
Annastasia bersara selepas membuat penampilan di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di mana dia berkesudahan di tempat kelima, namun tiga tahun kemudian membuat penampilan pendek, beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.
Dalam kariernya sebagai atlet, dia mengakui Olimpik 1996 paling sukar untuk dilupakan.
“Ketika itu semua pelumba jalan kaki kebangsaan ke Jerman untuk sertai pertandingan kelayakan Sukan Olimpik, tetapi saya tiada dalam senarai itu. Sebaliknya saya ada dua kejohanan tempatan untuk membuktikan kebolehan, saya terlepas yang pertama dengan beza masa yang kecil tetapi saya tidak ulangi kesilapan sama di kejohanan kedua.
“Olimpik Atlanta sangat menakjubkan, saya ke sana bersama Watson Nyambek, Nur Herman Majid, Loo Kum Zee, dan pasukan badminton kita. Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock memenangi pingat perak dan Rashid Sidek pula gangsa di temasya itu.
“Pada masa itu sekalipun perlumbaan sudah berteknologi tinggi. Kami perlu meletakkan cip di dalam kasut dan ada helicopter terbang di atas kita. Ia perasaan yang sukar digambarkan.
“Saya hanya berketinggian 1.64m tetapi ketika perlumbaan berlangsung, saya memintas pencabar yang lebih besar dari saya. Dalam hati, saya tidak henti berdoa ‘oh Tuhan, aku bukan meminta menang pingat tetapi janganlah aku berada di kedudukan tercorot’ .. dan saya tunjukkan satu aksi di luar jangkaan.
“Pengalaman itu tidak ternilai, saya masih ingat saat bersua, berjalan bergesel bahu dengan bintang trek dunia seperti Frankie Frederick dari Namibia dan Marlene Ottey dari Jamaica di sana,” ujarnya.
Begitupun, Annastasia berkata semua itu tidak mungkin terjadi jika bukan kerana jurulatihnya ketika itu, V.Subramaniam dan menjelaskan beliau adalah individu cukup penting di dalam membantunya mengorak langkah dan membina karier sebagai seorang atlet.
“Saya tidak tahu bagaimana nak berterima kasih kepada beliau. Saya biasa berlatih sebagai pelari di Lake Garden, Coach Subra melihat saya dan meminta saya beralih kepada jalan kaki.
“Saya menamatkan perlumbaan jalan kaki pertama saya di kedudukan tercorot! Ia sedikit melemahkan semangat saya tetapi dalam masa sama mengajar saya untuk berusaha membuktikan diri boleh melakukannya.
“Saya bekerja keras, dan mula mengatasi pelumba wanita yang lain, kemudiannya saya berlatih bersama pelumba lelaki. Mulanya saya selalu ketinggalan tetapi saya tidak berputus asa dan dapat menandingi mereka.
“Coach Subra cukup teruja dan siap menghadiahkan kad bertulis “lahirnya seorang juara”. Dia percayakan saya lebih dari diri saya sendiri, dia seorang sifu yang hebat.
“Ketika satu latihan pusat di Bangi, saya berada di trek pada awal pagi dan hujan mula turun. Ketika semua yang lain berlindung, Coach mengeluarkan payung dan jam detik, menyuruh saya teruskan latihan. Saya berlatih dalam keadaan basah kuyup dan kesejukan, tiada siapa nampak air mata saya menitis.
“Sebulan selepas itu, saya mengambil bahagian di Terbuka Filipina, pada hari itu hujan turun, dan tahu tak? Saya menang perlumbaan itu!,” ujarnya sambil menekankan bahawa jurulatih dan ibu bapa memainkan peranan sama penting dalam kejayaan seseorang atlet.
Annastasia yang berkelulusan Universiti Lim Kok Wing menambah, “Hari ini saya berada dalam bidang korporat, terima kasih kepada apa yang saya pelajari ketika zaman sebagai atlet. Nilai yang anda pelajari dari sukan tidak ternilai. Kecekalan, rasa rendah diri, disiplin dan semangat juang semuanya ditanam melalui sukan.
“Saya harap ibu bapa akan menggalakkan anak-anak untuk bersukan, ia membantu membina perwatakan seseorang itu. Apabila saya tinggalkan sukan, saya sambung belajar dan mula bekerja sebagai juruwang bank. Sepertimana di dalam sukan, saya selalu inginkan yang lebih baik, jadi saya melompat dari satu bank ke bank yang lain dan sekarang dalam satu kedudukan yang baik.”
Nasihatnya kepada atlet, kejayaan atau kegagalan berada dalam tangan mereka sendiri.
“Mereka perlu mempunyai matlamat jelas dan sedar bahawa ia memerlukan kerja keras, disiplin dan pengorbanan untuk menjadi seorang juara. Dan apabila berjaya, jangan sesekali membongkak, sentiasa merendah diri.
“Lihat (Dato’) Nicol David, dia sudah meraih pelbagai kejuaraan dalam skuash, termasuk juara dunia lapan kali, tapi dia tetap merendah diri. Saya mengaguminya.” – OLEH MUHAMMAD AIMAN