Oleh Ku Mohd Lufti
Calon bagi jawatan Presiden FAM penggal 2017 â 2021, Tan Sri Annuar Musa masih kekal dengan pendiriannya malah belum mahu menyerah kalah untuk merebut kerusi tertinggi badan induk bolasepak Malaysia penghujung bulan ini.
Annuar menjelaskan, masih ramai pihak yang mahu beliau terus bersaing untuk merebut jawatan tersebut.
Namun, misinya untuk merebut kerusi utama FAM terpaksa diagih agihkan dengan tugasnya sebagai Ketua Penerangan UMNO, malah agenda negara adalah keutamaannya ketika ini.
“Saya lebih memikirkan soal kepentingan rakyat dan kemenangan kerajaan dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14,” kata Annuar.
Sudah ramai yang menyatakan sukan tidak harus bercampur dengan hal hal melibatkan politik, namun mesej ini tampak tidak sampai sepenuhnya kepada beliau.
Kepimpinan FAM yang baru kelak perlu memberi fokus sepenuhnya terhadap melaksanakan tugas yang sangat besar dalam mengembalikan kepercayaan serta maruah bolasepak negara.
25 Mac depan, seluruh peminat bolasepak Malaysia khususnya bakal tertumpu perkembangan berita dari media massa tentang keputusan pemilihan FAM bagi penggal 2017 hingga 2021.
Tumpuan utama pastinya terarah kepada jawatan utama iaitu Presiden FAM yang menyaksikan persaingan diantara Annuar Musa dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.