Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memilih untuk tidak bertanding bagi merebut kerusi Presiden persatuan itu bagi penggal 2017-2021, walaupun namanya antara lima yang dicalonkan selepas tarikh tutup pencalonan pada Ahad.
Kongres Pemilihan KAFA ke-60 akan berlangsung pada 17 September depan dan Annuar yang pernah menyandang jawatan itu hampir sedekad dari 2007 – 2016 kekal dengan pendiriannya bahawa persatuan itu perlu dipimpin individu baru.
“Difahamkan nama saya masih dicalonkan untuk jawatan Presiden KAFA. Saya tidak perlu bertanding kerana saya yakin ramai yang boleh buat lebih baik dari saya. 10 tahun sudah cukup lama, saya dah lalui pelbagai suka duka dalam tempoh itu dan masak dengan pelbagai masalah bolasepak.
“Biarlah KAFA tanpa saya, saya percaya KAFA dan bola Kelantan akan bertambah baik dan kuat dengan adanya tokoh baru,” kata Annuar.
Annuar yang pada satu ketika pernah diangkat sebagai Bapa Transformasi Bolasepak Kelantan pada hakikatnya sudah lama didesak untuk berundur dari jawatan presiden oleh rata-rata penyokong Kelantan kerana dilihat menggunakan bolasepak untuk kepentingan politik dan dianggap sebagai punca pasukan itu dilanda krisis kewangan tenat sejak beberapa musim lalu. Â Â
Dengan Annuar memilih untuk menarik diri, persaingan mengisi kekosongan kerusi presiden kini akan menjadi persaingan empat penjuru antara dua Naib Presiden KAFA, Datuk Mohd Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail; Pengerusi Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Shaari Hassan serta usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan.
Selain jawatan Presiden, turut menjadi tumpuan pada Kongres nanti adalah persaingan bagi mengisi satu kerusi Timbalan Presiden, tiga kerusi Naib Presiden dan 10 kerusi Ahli Eksekutif. Â – OLEH MUHMMAD AIMAN