Aiman Rosli

DUA sosok pelumba yang bernama Aiman pasti menarik perhatian peminat berbasikal pada saingan edisi ke-27 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) yang bermula dengan Peringkat 1 di Kerteh, Sabtu ini.

Namun tumpuan lebih terarah kepada Muhammad Nur Aiman Zariff, pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang dalam misi hatrik memburu jersi polka dot Raja  Bukit dalam LTdL, selepas melakukannya pada 2020 dan 2022.

Biarpun bukan seorang pendaki tulen, kebijaksanaannya mengatur strategi dengan memungut mata dalam zon pendakian mudah membolehkan pelumba berusia 25 tahun kelahiran Marang itu mencipta bangga buat peminat lumba basikal tempatan.

Dan apabila tirai saingan disingkap pada Peringkat 1 Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4km dengan dua zon pendakian mudah berstatus KOM4 di Jerangau dan Sekayu, Aiman Zariff dijangka akan terbabit dalam aksi awal ini, sama ada membuat pemecahan awal atau berada di bahagian depan peloton.

Mampu berdiri di pentas podium seawal peringkat pertama di negeri kelahiran sendiri, dan di depan peminat tegar TSG, adalah tonik dan pembakar semangat yang diperlukan buat pelumba kelahiran Marang ini, dalam menghadapi peringkat-peringkat lebih mencabar seterusnya, Kuala Terengganu-Kota Bharu yang turut mengandungi dua zon pendakian mudah di Setiu dan Pelong.

Kelebihan buat Aiman Zariff ialah selain amat arif dengan laluan dua peringkat awal yang landai ini, dia dikelilingi rakan pelumba yang mampu membantunya untuk menjayakan misi berkenaan seperti pelumba pelumba kelahiran Mongolia, Jambaljamst Sainbayar, Youcef Reguigui (Algeria) dan Jeroen Meijers (Belanda).

Berbeza dengan pelumba skuad Malaysia, Muhammad Nur Aiman Rosli, jaguh empat kali ujian masa individu kebangsaan ini (2020, 2021, 2022 dan 023) yang tampil buat kali pertama dalam saingan LTdL, lebih berminat untuk mengangkat nama pasukan negara dalam kategori Asia.

Dia mengakui strategi awal pada dua peringkat landai nanti lebih kepada menggunakan kepakaran kayuhan ujian masanya untuk mencari ruang dan menarik dua Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil atau Zulhelmi Zainal ke kelompok depan ketika menghampiri garisan penamat.

Peranan sebenarnya bersama-sama Muhammad Zawawi Azman, Shaiful Adlan Shukri dan Muhsin Al Redha Misbah akan dipikul pada Peringkat 3 (Jeli-Baling, 183.1km) dan Peringkat 5 (Slim River-Genting Highlands, 126.4km).

Sedikit kelebihan bagi skuad kebangsaan yang dilatih Mohd Yusuf Nasir ialah pelumba sudah mencuba kedua-dua laluan peringkat sukar itu dalam sesi latihan sejak dua bulan lalu, dengan purata kayuhan 1,000km seminggu, selain memanaskan badan di Tour Gateh D’Tranung 3-8 September lalu.

Bekas pelumba Team Sapura Cycling berusia 24 tahun itu yang terpaksa disisihkan kerana percaturan besar pengurusan pasukan itu menurunkan empat pelumba luar negara dalam LTdL sebelum ini, juga cenderung untuk mengambil pendekatan ‘peringkat demi peringkat’.

Ini kerana dia membawa misi peribadi untuk meninggalkan impak besar dalam LTdL 2023 ini, seterusnya membuka mata pasukan profesional lain.

Walau apa pun misi peribadi yang dibawa oleh dua Aiman ini, kedua-dua mereka mengharapkan sokongan dan sorakan bersemangat peminat tempatan di keseluruhan jarak sepanjang 1,278.1km nanti.

PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 yang membawa tema ‘Beat The Heat’ dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), bermula di Kerteh, Terengganu pada 23 September ini dan berakhir di pekarangan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) pada 30 September.

LTdL 2023 yang berstatus ProSeries akan menyusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,278.1km.

Seramai 132 pelumba mewakili 2 pasukan WorldTeam, 8 pasukan ProTeam, 11 pasukan Continental dan satu pasukan kebangsaan akan mengambil bahagian.

 

SENARAI PASUKAN LTDL 2023 

BIL. PASUKAN KATEGORI NEGARA DIDAFTARKAN
1. ASTANA QAZAQSTAN TEAM UCI WORLD TEAM KAZAKHSTAN
2. EF EDUCATION-EASYPOST UCI WORLD TEAM USA
3. CAJA RURAL-SEGUROS RGA UCI PROTEAM SEPANYOL
4. EQUIPO KERN PHARMA UCI PROTEAM SEPANYOL
5. EUSKALTEL – EUSKADI UCIPROTEAM SEPANYOL
6. GREEN PROJECT – BARDIANI CSF – FAIZANE UCI PROTEAM ITALI
7. TEAM CORRATEC – SELLE ITALIA UCI PROTEAM ITALI
8. HUMAN POWERED HEALTH UCI PROTEAM USA
9. TUDOR PRO CYCLING TEAM UCI PROTEAM SWITZERLAND
10. BOLTON EQUITIES BLACK SPOKE PRO CYCLING UCI PROTEAM NEW ZEALAND
11, TERENGGANU POLYGON CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL MALAYSIA
12. 7ELEVEN CLIQQ – AIR21 BY ROADBIKE PHILIPPINES UCI CONTINENTAL FILIPINA
13. NUSANTARA CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL INDONESIA
14. HENGXIANG CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL CHINA
15. LI NING STAR UCI CONTINENTAL CHINA
16. GIANT CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL CHINA
17. ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL AUSTRALIA
18. KSPO PROFESSIONAL UCI CONTINENTAL KOREA SELATAN
19. JCL TEAM UKYO UCI CONTINENTAL JEPUN
20. ROOJAI ONLINE INSURANCE UCI CONTINENTAL THAILAND
21. THAILAND CONTINENTAL CYCLING TEAM CONTINENTAL THAILAND
22. MALAYSIA NATIONAL TEAM CONTINENTAL KEBANGSAAN

 

- Advertisement -