Beberapa hari lalu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Yusoff Mahadi membidas peminat-peminat bolasepak tempatan dengan pertanyaan “apa lagi yang penyokong mahu” berikutan ramai yang mempersoalkan kewajaran jadual Liga Super dan Liga Premier dipinda bagi memberi ruang kepada satu lagi aksi persahabatan antarabangsa berkelas ‘A’.
Yusoff mempertahankan keputusan itu dengan menyatakan bahawa pindaan dibuat mengambil kira kepentingan skuad kebangsaan dan aksi persahabatan boleh membantu memperbaiki ranking skuad negara yang kini menjunam ke kedudukan 178 dunia.
Aksi persahabatan yang dimaksudkan itu adalah menentang Nepal pada 1 April sepertimana diumumkan FAM pada Khamis. Ia adalah perlawanan tambahan dalam calendar antarabangsa bagi skuad Harimau Malaya selepas perlawanan persahabatan menentang Mongolia yang telahpun berkesudahan 2-2 dan kemudiannya Lubnan (kelayakan Piala Asia) pada 27 Mac nanti.
Perlawanan itu dilangsungkan di luar jadual antarabangsa FIFA dan hakikatnya jarang ada pasukan bermain lebih dari dua perlawanan rasmi mengikut kalendar FIFA justeru keputusan FAM ini dilihat sebagai satu keputusan terdesak.
Dalam ‘keterdesakkan’ itu, Yusoff mungkin lupa, ranking tidak naik atau turun semata-mata hanya dengan mengadakan perlawanan persahabatan, keputusan perlawanan juga memainkan peranan penting jadi tindakan mengadakan satu lagi perlawanan belum tentu membantu usaha memperbaiki ranking seperti yang dicanang.
Sedangkan Mongolia yang berada di ranking ke-189 dunia dan bermain bola sekadar satu hobi gagal ditewaskan, apa keputusan yang boleh dijangka apabila menentang Lubnan di gelanggang lawan dan kemudiannya Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti? Adakah sebarang keputusan selain kemenangan boleh membantu melonjakkan semula ranking kita?
Memang benar, seperti diketahui ranking tidak hanya mengambil kira keputusan semasa pasukan kebangsaan tetapi mata dikira secara kolektif dari keputusan atau prestasi yang ditunjukkan sejak empat tahun lalu.
Yusoff mahupun FAM tidak salah kerana memikirkan mengenai mahu memperbaiki ranking dengan mengadakan aksi persahabatan tambahan, tetapi perlu ditekankan tujuan adakan aksi persahabatan adalah untuk mencari kemenangan. Dalam situasi sekarang, menentang Nepal, Bangladesh mahupun Burundi sekalipun, kemenangan belum tentu dapat dilakar.
Kegagalan menewaskan Mongolia yang dua kali bangkit mengikat kedudukan mengundang penyokong bolasepak tempatan pula untuk bertanya, “apa lagi yang tak kena” dengan skuad negara. Ia adalah aksi pertama bagi 2018, aksi pertama selepas lebih empat bulan dan aksi pertama di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Beberapa perubahan dibuat, ramai tenaga muda dibawa masuk, namun kemenangan pertama selepas lebih setahun, selepas mengharungi 11 perlawanan masih gagal dikecap dan apa lagi yang boleh Cheng Hoe katakan selepas keputusan mengecewakan ini?
Seperti dijangka, “Mereka sudah berikan yang terbaik, bukan nasib kita untuk menang dan saya optimis mengenai masa depan skuad ini.” Itulah yang dikatakan oleh Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan.
Untuk memacu dan membawa perubahan dalam skuad negara, Cheng Hoe perlu kaji dan tidak hipokrit kepada diri sendiri, perlu tahu atau mungkin dia sebenarnya tahu ‘apa yang tidak kena’ dalam skuad negara namun tidak berani untuk membuat keputusan.
Jika pengendali ini berani membuat keputusan menyelesaikan persoalan mengenai “apa lagi yang tidak kena” ini, barulah kita dapat melihat satu perubahan dan pembaharuan. Selagi itu, mungkin kita akan kekal di takuk sama. – OLEH MUHAMMAD AIMAN