Oleh Muhammad Aiman
Barisan exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan bermesyuarat di Wisma FAM pada Isnin (15 Ogos), dan persoalan yang pastinya bermain di fikiran peminat mahupun pengkritik bolasepak tempatan adalah apakah keputusan yang akan dicapai menerusi mesyuarat itu.
Mesyuarat itu dikatakan akan membawa angin perubahan besar dalam kepimpinan FAM ketika ini, dengan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan semua barisan exco dijangka mengumumkan pengunduran dari badan induk itu sebagai satu daripada proses mengtransformasikan bolasepak tanah air.
Namun, selain menerima perletakan jawatan Presiden yang sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk berundur, Sports247 tidak rasa pengunduran exco lain akan berlaku dalam tempoh terdekat.
Ini kerana beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan termasuklah persediaan skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi Piala AFF Suzuki November depan.
Jika semua memilih untuk ‘angkat kaki’, maka sudah tentunya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) perlu diadakan penghujung tahun ini berbanding menunggu Kongres FAM pada 2018 dan adakah ia ideal untuk dilaksanakan pada ketika tiada siapa pun tahu calon paling sesuai untuk dibawa masuk ke dalam kepimpinan baru?
Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ibrahim Sultan Ismail yang lantang mengkritik dan menyuarakan pendapat tentang kepincangan dalam pengurusan FAM, awal-awal lagi telah memberitahu dia tidak berminat dengan jawatan itu sebaliknya mahu bertindak sekadar sebagai seorang penasihat.
Namun sudah tentunya seorang presiden baru (yang bakal dilantik) boleh bekerjasama dengan TMJ bagi mengangkat semula martabat bolasepak negara – mungkin tidak ramai yang menyukai cara TMJ, namun hakikat bahawa dia telah mengubah landskap bolasepak tempatan dengan mengangkat Johor Darul Takzim ke satu aras baru, dimensi baru pastinya tidak boleh dinafikan.
TMJ juga dilihat sudah mempunyai formulanya yang tersendiri tentang bagaimana mahu mengstrukturkan semula badan induk itu, apabila mendedahkan beberapa perancangannya di dalam menjayakan rombakan menyeluruh FAM di laman rasmi Harimau Selatan baru-baru ini.
Segala usahanya, tidak lain bertujuan mencari solusi bagi menyekat arena bolasepak negara dari terus dirundung malang termasuk memulihkan prestasi skuad kebangsaan yang mengalami kemerosotan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan.
Skuad negara diaibkan dengan kekalahan 0-10 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2018 pada September tahun lalu, yang mana merupakan kekalahan terburuk Malaysia dalam tempoh 50 tahun.
Dan pada April lalu, ranking Malaysia jatuh ke kedudukan 174 dunia – kedudukan terburuk dalam sejarah bolasepak Malaysia, hanya dipisahkan 30 anak tangga dari kedudukan tercorot dan berada di kelompok sama dengan negara yang bolasepak bukan sukan utama mereka seperti Samoa, Fiji, Liechtenstein, Malta, Tahiti dan Vanuatu.
Kemudian beberapa minggu lalu, TMJ juga mendakwa dia mempunyai bukti berkenaan salah laku serta penyelewengan yang berlaku di dalam FAM, termasuk ketirisan dalam penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan laporan audit yang merepek.
Untuk menjayakan pemulihan secara menyeluruh, TMJ juga berpendapat adalah perlu untuk membawa masuk seorang jurulatih asing, dan jika ia dilaksanakan bagaimana dengan nasib Kim Swee yang sedang mempersiapkan pasukan menghadapi Piala AFF Suzuki?
Jadi apakah sebenarnya yang akan dibincangkan oleh barisan exco pada Isnin? Apa pula pandangan atau cadangan yang telah dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada mereka semua dalam satu pertemuan di Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini?
Apakah pandangan Khairy adalah amanat daripada TMJ, dan adakah pandangan itu akan menyaksikan satu keputusan besar dibuat pada mesyuarat esok? Adakah semua barisan exco lain sedia melepaskan jawatan mereka ?
Suka atau tidak, pengunduran individu-individu yang tidak menyumbang kepada kemajuan atau pembangunan bolasepak, dan sekadar menjadi ‘pak angguk’ ini perlu berlaku bagi memberi ruang kepada TMJ dan presiden baru kelak membetulkan segala apa yang tidak betul di dalam persatuan.
Kejayaan TMJ di peringkat kelab belum tentu menjamin kejayaan sama di peringkat badan induk. Menguruskan kelab dan badan induk adalah dua perkara berbeza, namun apa yang akan kita rugi jika ianya berlaku?
Sepanjang lebih tiga dekad kita telah disajikan kegagalan demi kegagalan, jadi apa salahnya untuk membenarkan wajah-wajah baru untuk mengambil alih dan menyuntik satu nafas baru?