Minggu ini, tumpuan terarah kepada 16 aksi pusingan kedua Piala FA.
Daripada 12 pasukan Liga Super, tujuh daripadanya akan menentang pasukan Liga FAM, dua akan berdepan pasukan Liga Premier manakala satu akan menentang kelab liga sosial.
Namun yang paling menjadi tumpuan sudah tentunya pertembungan antara juara bertahan Kedah menentang Negeri Sembilan di Alor Star dalam satu-satunya aksi membabitkan dua pasukan Liga Super, sekaligus menyaksikan satu daripada mereka tersingkir awal.Â
Negeri Sembilan akan dibimbing Azraai Khor Abdullah buat pertama kali – jurulatih yang membawa Kedah memenangi trofi ini pada 2007 dan 2008.
Jelas, ia cabaran yang cukup getir buat Azraai seawal aksi pertama apatah lagi dia mempunyai masa cukup singkat untuk mempersiapkan skuad selepas hanya dua hari dilantik menggantikan Jorg Steinbrunner dan perlu mengembalikan motivasi di kalangan pemain yang tewas tiga daripada empat aksi awal.
Kedah pula sudah menemui momentum kemenangan setelah menang dua aksi terakhir termasuk menewaskan PKNS FC pada Ahad lalu.
Apapun, sudah tentu, Ramon Marcote tidak akan memandang mudah pertemuan ini dan akan menyediakan strategi terbaik bagi mengulangi kejayaan musim lalu.
Selain Kedah-NS, di atas kertas pasukan Liga Super lain dijangka tidak berdepan masalah meneruskan kemaraan. Namun, elemen kejutan dalam pertandingan kalah mati tidak boleh diketepikan begitu saja.
Sime Darby pernah membuktikannya pada 2012 dengan mara sehingga ke final dan untuk edisi kali ini, pastinya cabarannya lebih sengit kerana dari skuad Liga Premier hingga Liga FAM, semuanya dilihat membuat persiapan yang cukup rapi dan mempunyai skuad berpengalaman.Â
Hanelang FC umpamanya akan turun menentang PKNS, mereka mempunyai kelibat pemain-pemain seperti Zairo Anuar Zailani, Syamsuri Mustafa, Azlan Zainal, Reesyafiq Alwi dan dibimbing oleh Ahmad Yusoff. Jadi skuad Datuk K.Rajagobal silap jika mereka fikir cukup sekadar menurunkan barisan simpanan.
Bukan sahaja PKNS, pasukan lain seperti Kelantan yang akan berdepan Terengganu City, Kuala Lumpur (Kuching FA), Selangor (MOF FC), Terengganu FC (PJ Rangers), PKNP (Shahzan Muda), Pahang (ATM) dan Melaka (Southern FC) semuanya perlu berhati-hati jika tidak mahu menjadi gergasi yang tersungkur awal. – OLEH MUHAMMAD AIMAN