Pemain tengah Perak, Hafiz Kamal mengesahkan dia belum menandatangani kontrak baru bersama skuad juara Piala Malaysia itu dan masih menunggu kata putus daripada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) sekaligus membuatkan spekulasi bertiup kencang mengenai halatuju kariernya.
Pemain yang menyertai skuad The Bos Gaurus pada 2017 terpaksa berehat panjang lebih setahun sejak September 2017 akibat kecederaan serius di lutut kiri ketika sesi latihan menjelang aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Pahang.
Pemain berusia 31 tahun itu mengakui dia masih berminat untuk kekal menyarung jersi sang seladang untuk musim baru Liga Malaysia namun keputusan sama ada kontraknya disambung atau sebaliknya terletak di tangan PAFA.
âRundingan sudah diadakan antara PAFA dan saya, kini terserah kepada mereka sama ada masih memerlukan saya atau tidak. Mungkin mereka akan membuat keputusan dalam beberapa hari lagi, tetapi kalau diberi pilihan, saya mahu kekal bersama Perak.
âSelepas melalui sepenuh musim 2018 tanpa beraksi dan merawat kecederaan, saya yakin dapat kembali kepada prestasi sebenar dan mahu mengecap lebih kejayaan bersama Perak. Sudah tentu saya mengharapkan satu jawapan positif tetapi saya perlu bersedia menerima apa sahaja keputusan dibuat pengurusan,â ujar pemain yang mula mencipta nama bersama Pahang itu.
Tatkala nasib masa depannya masih menjadi tanda tanya, beberapa pasukan dilaporkan sedang memantau perkembangan pemain berasal dari Pantai Remis itu dengan pasukan âjiranâ setempat PKNP FC mungkin menyambarnya jika Perak mengambil keputusan tidak menyambung kontrak.
Apa pula kata penyokong Perak, adakah masih relevan Hafiz Kamal kekal menyarung jersi Perak selepas setahun berehat, mampukah pemain yang pernah dilabel salah seorang jeneral tengah terbaik dalam negara itu kembali menyerlahkan prestasi yang pernah mengangkat namanya satu ketika dulu?
Adalah diketahui, Perak bimbingan Mehmet Durakovic ketika ini dilihat tidak membuat rombakan besar pada skuad yang menamatkan saingan Liga Super selaku naib juara dan kemudiannya disusuli kejayaan menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu dalam aksi final.
Setakat ini mereka hanya membawa masuk dua pemain iaitu pertahanan import Zachary Anderson (PKNS) dan J.Partiban dari Terengganu selain mengekalkan khidmat trio import dari Brazil Leandro Dos Santos, Gilmar Silva dan Wander Luiz Junior.
Rata-rata pemain tempatan lain juga dikekalkan oleh Perak yang akan beraksi di kelayakan Liga Juara Asia (ACL) 2019. MUHD AIMAN Â