Status penuh temasya dwi tahunan Sukan Para ASEAN 2020 yang sepatutnya berlangsung di Filipina terjawab selepas Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) secara rasminya mengambil keputusan untuk membatalkan temasya itu.

Menerusi kenyataan media hari ini, mesyuarat Lembaga Pengelola menerusi sidang video pada Jumaat lalu yang dipengerusikan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Filipina, Michael Barredo dan turut disertai kesemua 10 Presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan negara negara ASEAN yang lain.

Presiden APSF Mejar Jeneral Osoth Bhavilai menjelaskan, mesyuarat tersebut bersetuju untuk menerima keputusan pembatalan secara rasmi selepas menerimas surat daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) pada 8 Jun lalu.

Surat tersebut menyatakan pembatalan temasya dwitahunan tersebut demi menjaga keselamatan semua atlet dan jurulatih samada dari Filipina mahupun negara lain termasuklah petugas, pegawai dan tetamu serta komuniti sukan susulan penularan coronavirus.

Tambah BHavilai lagi, Lembaga APSF berterima kasih kepada kerajaan Filipina dan jawatankuasa penganjur (PHILAPGOC) di atas segala usaha untuk menganjurkan temasya sukan berkenaan, termasuk penyediaan sekretariat, dana, venue, logistik, tenaga kerja dan lain-lain keperluan teknikal.

Dengan pembatalan APG 2020, beliau berharap semua pihak kini memberi tumpuan kepada persiapan Sukan Para ASEAN ke 11 yang akan berlangsung di Vietnam dan dijadual bermula pada Disember 2021.

Bhavilai, yang juga setiausaha agung Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Thailand, berkata Lembaga Pengelola APSF akan mengadakan mesyuarat awal pada Disember ini untuk membincang dan menyelaras penganjuran edisi 2021 bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam dan pemegang taruh yang lain.

 

- Advertisement -